Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Beberapa unit kediaman kosong di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini, diceroboh untuk dijadikan sebagai sarang penagihan dadah.

Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata, hasil pemeriksaan pihaknya terhadap unit kediaman di tiga tingkat teratas di sebuah blok di PPR berkenaan mendapati, tiada penghuni.

"Pemeriksaan dilakukan terhadap beberapa kediaman kosong berkenaan menemukan peralatan seperti pisau, gunting serta jarum suntikan untuk dadah yang ditinggalkan oleh penagih.

"Kami percaya rumah terbabit diceroboh oleh penagih untuk dijadikan sebagai sarang penagihan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada sidang media selepas mengadakan rondaan menerusi Program Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) di PPR berkenaan, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Johary berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak Jabatan Perumahan Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung isu berkenaan.

"Perbincangan itu perlu bagi memastikan unit rumah kosong berkenaan dapat dibaiki dan dijadikan sebagai tempat tinggal yang lebih kondusif.

"Ia penting bagi mengelakkan unit kediaman berkenaan dijadikan sebagai sarang penagihan dadah di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan lawatan di 145 kediaman di PPR berkenaan, menerusi program terbabit, semalam.

"Kami memilih kawasan ini kerana ia adalah salah satu lokasi hotspot yang dikenal pasti oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di daerah Petaling selain Desa Mentari.

"Pada masa sama, kami juga mendapatkan profiling bagi kawasan tempat tinggal ini untuk menentukan kes-kes yang mungkin terbabit dengan gejala penyalahgunaan dadah," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya menahan seramai 158 individu di PPR berkenaan menerusi Operasi Jihad pada 5 hingga 18 November lalu.

"Kebanyakan mereka yang ditahan terdiri daripada lelaki berusia antara 20 hingga 59 tahun yang didapati mengedar, memiliki dan menagih dadah.

"Selepas operasi itu diadakan, kita melantik ahli jawatankuasa membabitkan penduduk di kawasan ini sendiri yang terdiri daripada lapan ahli.

"Mereka akan bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk melaporkan mengenai sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan ini," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya dengan kerjasama agensi lain juga akan menjalankan operasi secara berterusan bagi memantau aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

"Ini termasuk melakukan pemantauan dan tangkapan di unit kediaman yang dijadikan sebagai sarang penagihan di kawasan ini.

"Selain itu, kami juga mahu memberi pendedahan kepada masyarakat di kawasan ini mengenai penyalahgunaan dadah menerusi kempen dijalankan dengan kerjasama agensi lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 8:14 AM
Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (tiga dari kiri) meninjau sebuah rumah kosong yang menjadi sarang penagih ketika Program Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) Outreach dan Omnipresence Perdana di PPR Lembah Subang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (tiga dari kiri) meninjau sebuah rumah kosong yang menjadi sarang penagih ketika Program Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) Outreach dan Omnipresence Perdana di PPR Lembah Subang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM