Antara individu yang ditahan polis di ladang kelapa sawit Padang Serai, Kulim. FOTO Ihsan PDRM
Antara individu yang ditahan polis di ladang kelapa sawit Padang Serai, Kulim. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


KETIKA orang lain sibuk berbuka puasa lain pula dengan sekumpulan lelaki yang ketagih dadah apabila mengambil kesempatan menghisap dadah di beberapa sarang penagihan di Kedah semalam.

Bagaimanapun kegiatan mereka terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menyerbu tiga sarang penagihan dadah di Alor Setar, Kulim dan Baling bermula 12 tengah hari sehingga 8 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Helmi Aris berkata, dalam serbuan di Keda 13, Pokok Sena, Alor Setar, lapan penagih ditangkap ketika lalok menghisap dadah.

Menurutnya, dalam serbuan di ladang kelapa sawit di Padang Serai, Kulim pula sembilan orang ditangkap yang mana empat memiliki dadah dan lima penagih.

“Dalam serbuan di sarang penagihan dadah di Kuala Ketil, Baling 17 orang ditahan membabitkan tujuh penagih dan 10 memiliki dadah.

“Ketika serbuan ada menghisap dadah pada tengah hari malah ada juga mengambil bahan terlarang itu ketika waktu berbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Helmi berkata, jumlah tangkapan membabitkan 34 lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952, Seksyen15(1) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 11:50 AM