ABDUL Rashid ketika ditemui media. FOTO Mikail Ong
ABDUL Rashid ketika ditemui media. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersedia membantu memasarkan beras tempatan di cawangan dan platform perniagaan agensi itu terutamanya membabitkan kawasan yang didakwa berlaku kekurangan makanan ruji itu.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya menunggu arahan lanjut berhubung pelaksanaan langkah itu daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dijangka mengadakan perbincangan dengan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan pengeluar padi esok.

"Kita diminta Menteri (KPKM) berdasarkan kepada pengalaman Fama mengedarkan telur apabila berlaku kekurangan bahan itu hujung tahun lalu 11 dan kita diminta kerajaan untuk edar di tempat-tempat yang ada kekurangan contoh pantai timur ketika itu.

"Dalam semangat yang sama pada Ahad lalu, Fama diminta untuk mengedarkan beras seperti intervensi yang dilakukan ketika berlaku kekurangan telur.

"Bagaimanapun Fama menunggu arahan seterusnya kerana dilaporkan akan berlaku satu perbincangan terperinci jadi kita tunggu hari Khamis," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis pelancaran portal Agrobazaar Online (ABO) versi 3.0 dan sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Fama bersama Razer Merchant Services Sdn Bhd di sini hari ini

Abdul Rashid memaklumkan ketika ini usaha Fama membantu memasarkan beras tempatan bermula secara tidak langsung dalam program jualan Agro Madani yang dianjurkan dari semasa ke semasa di pelbagai lokasi.

Beliau berkata, pihaknya bersedia dengan platform dan ruang perniagaan dimiliki dengan Fama mempunyai kira-kira 1,400 pusat pemasaran antaranya membabitkan outlet Fama selain pasar tani dan usahawan kedai Fama.

KPKM dalam kenyataan Sabtu lalu meminta pengilang padi dan pemborong beras meningkatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan, sebagai langkah intervensi memulihkan bekalan beras di pasaran.

Menerusi program khas berkenaan pihak Padiberas Nasional Bhd (Bernas) akan memberikan kuota tambahan tersebut kepada pemborong-pemborong Bumiputera untuk menambah bekalan BPT negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 2:53 PM