GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Klang: Sakit hati susulan bunyi bising ketika meraikan sambutan hari jadi menjadi punca pergaduhan membabitkan 20 lelaki di sebuah restoran di Bandar baru Klang di sini.

Kejadian sekitar jam 1 pagi semalam, turut tular di media sosial apabila berpuluh kerusi dan meja di restoran berkenaan pecah dan berselerak akibat pergaduhan itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, insiden bermula apabila enam lelaki membuat bunyi bising ketika sekumpulan individu lain sedang meraikan sambutan hari jadi di premis sama.

"Akibat tidak berpuas hati dengan tindakan enam lelaki itu, suspek dipercayai menghubungi rakan-rakan lain.

"Berlaku tindakan saling cabar mencabar sebelum tercetusnya pergaduhan membabitkan 20 lelaki," katanya

selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di Balai Polis Kapar, di sini, tadi.

Berikutan itu, polis menerima laporan polis dibuat pemilik restoran berkenaan.

"Menurut pemilik restoran itu, terdapat kira-kira 20 lelaki bergaduh dan turut menyerang pelanggan restoran lain yang sedang makan di situ.

"Akibat pergaduhan itu, beberapa pelanggan mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)," katanya.

Vijaya Rao berkata, sebahagian suspek yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah dikenalpasti malah ada di antara suspek pernah ditangkap sebelum ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata. Polis juga masih lagi mengesan beberapa saksi bebas di tempat kejadian.

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat, boleh menyalurkannya kepada IPD Klang Utara atau balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 2:16 PM