TANGKAP layar suspek samun bersenjata yang sedang diburu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa. FOTO Ihsan Pembaca.
TANGKAP layar suspek samun bersenjata yang sedang diburu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa. FOTO Ihsan Pembaca.
Ruwaida Md Zain


Klang: Polis sedang mengesan suspek yang disyaki melakukan samun bersenjata parang secara berkumpulan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati suspek terbabit dipercayai melakukan dua samun di lokasi berbeza di daerah itu, hari ini.

Menurutnya, salah satu kes samun berkumpulan bersenjatakan parang itu dipercayai berlaku di Kapar dan tular di media sosial.

"Polis menerima dua laporan polis daripada seorang perempuan dan seorang lelaki berkaitan kejadian samun yang berlaku di kawasan Kapar dan juga Bukit Raja.

"Kes pertama pada jam 3.05 petang di Taman Intan, Kapar sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu dinaiki empat lelaki bersenjatakan parang keluar daripada kereta dan menyamun mangsa yang sedang mengemas di bahagian dapur rumah.

"Mangsa mengalami kerugian tiga rantai emas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata, kejadian kedua pula berlaku pada jam 3.20 petang di Taman Klang Utama, Bukit Raja yang membabitkan seorang mangsa lelaki.

"Semasa kejadian, mangsa ditahan suspek menggunakan kereta jenis sama sebelum menarik dua utas rantai emas yang dipakai oleh dua mangsa lelaki itu.

"Mangsa mengalami sedikit kecederaan akibat pergelutan di bahagian leher.

"Semua suspek ini belum dikenal pasti dan polis sedang mencari kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata, Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Sebarang maklumat, bolehlah disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nur Saiful Hazwan Mohamad Ridzuan (016-7404177) dan ke IPD Klang Utara ataupun mana mana balai polis berhampiran.

"Pihak polis juga menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 11:28 PM