Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Kerajaan sedang merangka program yang lebih besar dalam Belanjawan Madani, kedua Oktober ini dalam usaha membantu rakyat menangani bebanan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim berkata, program yang dilaksanakan itu menumpukan soal kemiskinan, kebajikan dan pendidikan yang menjadi fokus utama beliau sebaik sahaja memimpin Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut berharap Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memainkan peranan dalam membantu kerajaan.

"Balik pada soal kemiskinan, mengapa dalam masa dua tiga bulan, lapan bulan kita jadi kerajaan, kita tumpu betul-betul masalah ini.

"Sebab itu, saya katakan komitmen ini jelas dalam Belanjawan Madani, kedua Oktober kita sedang merangka sesuatu yang lebih baik.

"Yang diperlukan daripada pengurusan dan juga sahabat semua ialah kesungguhan… kalau kita ada tekad ini kita rasa apa… Apa tekad kita (yang) akhirnya diri, keluarga dan sahabat kita (keluar) daripada kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Karnival Sahabat Usahawan Madani Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Timur di sini hari ini.

ANWAR bercakap sesuatu bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, AIM Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid pada Majlis Perasmian Karnival Sahabat Usahawan Madani AIM. FOTO Ghazali Kori
ANWAR bercakap sesuatu bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, AIM Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid pada Majlis Perasmian Karnival Sahabat Usahawan Madani AIM. FOTO Ghazali Kori

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia ada sebuah negara yang kaya yang mempunyai pelbagai sumber alam seperti balak, minyak dan gas.

Bagaimanapun, katanya, belum ada pemimpin yang bertanggungjawab untuk membantu rakyat keluar daripada kemiskinan.

"Malaysia ini negara yang kaya yang dulu ada balak berpuluh bilion ringgit, bijih timah, minyak dan gas tetapi belum tentu ada pemimpin yang penuh bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 7:39 PM