ANWAR dan Ewon (lima, kiri) bergambar bersama sebahagian penerima cek Skim Pembiayaan Usahawan Tekun Negeri Terengganu. FOTO Bernama
ANWAR dan Ewon (lima, kiri) bergambar bersama sebahagian penerima cek Skim Pembiayaan Usahawan Tekun Negeri Terengganu. FOTO Bernama
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) hari ini menerima empat pengiktirafan secara serentak daripada Malaysia Book of Record (MBOR).

Empat rekod kebangsaan itu diperoleh sempena Karnival Sahabat Usahawan Madani Amanah Ikhtiar Malaysia di Karnival Sahabat Usahawan Madani Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Timur di The Payang Scout Hotel di sini hari ini.

Lebih bermakna, majlis penyerahan empat sijil pengiktirafan secara serentak untuk rekod kebangsaan daripada MBR kepada AIM itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, rekod kebangsaan pertama adalah mesyuarat usahawan wanita terbesar secara dalam talian dari 4,491 pusat.

Beliau berkata, rekod kebangsaan kedua adalah pembiayaan tertinggi yang diluluskan secara serentak kepada usahawan wanita bernilai kira-kira RM32 juta.

"Rekod ketiga adalah bacaan ikrar oleh usahawan wanita membabitkan 183,112 orang manakala rekod keempat adalah kehadiran ahli mesyuarat usahawan wanita teramai iaitu seramai 183,112 orang.

"Keempat-empat catatan rekod kebangsaan ini berjaya direkodkan dalam Mesyuarat Pusat Sahabat Usahawan AIM yang dibuat secara dalam talian dan fizikal dari tapak karnival yang diadakan di The Payang Scout Hotel di sini," katanya.

Majlis penyerahan keempat-empat sijil pengiktirafan MBR itu dibuat Konsultan Kanan Rekod MBOR Siti Hajar Johor dan Penganalisa Kajian Malaysia Record Sdn Bhd, Siti Nurhanim Mohd Noh kepada pengurusan kanan AIM.

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.

Mohamed Shamir berkata, catatan rekod kebangsaan untuk sahabat usahawan AIM itu dibuat bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan dan komitmen lebih 326,510 Sahabat AIM yang perlu menghadiri mesyuarat pusat pada setiap minggu.

Beliau berkata, ia juga bertujuan untuk merekodkan pencapaian AIM dalam usaha membantu golongan wanita B40 yang berupaya menjana pendapatan isi rumah mereka melalui Skim Pembiayaan Ikhtiar AIM yang diperkenalkan sejak 1987.

"Selain itu, ia juga untuk merekodkan bacaan Ikrar Sahabat Usahawan yang menjadi amalan wajib setiap kali mesyuarat atau apa-apa juga program rasmi diadakan tidak kira ia program berskala kecil mahu pun berskala mega.

"AIM sehingga hari ini sudah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM31.3 bilion untuk wanita B40 memulakan perniagaan berskala mikro," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 9:26 PM