KENDERAAN dan peralatan yang dikesan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan APMM
KENDERAAN dan peralatan yang dikesan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan APMM
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima lelaki dan menyita 28,000 liter diesel bersubsidi di muara Sungai Paloh, di sini, tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, lima lelaki itu dipercayai terbabit dalam aktiviti pemindahan minyak secara haram di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, kegiatan itu terbongkar hasil pemantauan bot ronda APMM di uara Sungai Paloh, di sini, pada 12.30 tengah malam berdasarkan risikan dan maklumat diterima.

Menurutnya, bot ronda mengesan sebuah vesel dan lori tangki di muara sungai dalam keadaan mencurigakan, dan pemeriksaan mendapati hos serta pam minyak disambungkan antara lori tangki dan bot berkenaan.

"Vesel berkenaan dikendalikan tiga kru termasuk nakhoda warga tempatan dan Indonesia berusia antara 29 hingga 64 tahun.

"Ketiga-tiga suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan diesel yang dipercayai dipindahkan dari lori tangki di lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, APMM turut menahan seorang warga tempatan dan Myanmar 48 serta 58 tahun di dalam kenderaan pacuan empat roda di lokasi kejadian kerana disyaki turut terbabit dalam aktiviti haram ini.

Katanya, kesemuanya ditahan jam 3.30 pagi.

Hizam berkata, turut disita diesel bersubsidi (bernilai RM130,000), vesel, lori tangki dan kenderaan pacuan empat roda yang bernilai keseluruhan RM3.3 juta.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 135(c) Akta Kastam 1967, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan akta lain berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 7:20 PM