ASYRAF Wajdi ketika melawat MRSM Balik Pulau. FOTO Ihsan FB Asyraf Wajdi.
ASYRAF Wajdi ketika melawat MRSM Balik Pulau. FOTO Ihsan FB Asyraf Wajdi.
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi baik pulih penggantian peralatan asrama pelajar dan perabot bilik guru di Maktab rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, di sini.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan itu diumumkan selepas membuat lawatan mengejut ke MRSM berkenaan, hari ini.

"Sepatutnya dalam jadual saya ke Sungai Bakap, Nibong Tebal bagi melawat usahawan Bumiputera di sana, tetapi saya mengambil keputusan untuk membuat lawatan mengejut terlebih dahulu ke MRSM Balik Pulau kerana ada terbaca komen di Facebook mengenai keadaan asrama pelajar di sana.

"Saya melihat sendiri keadaan asrama dan bilik guru di sini ditemani Pengetua Mohd Ali Mohd Yusof, sebelum berhubung terus dengan Ketua Pengarah Azhar Abdul Manaf bagi mendapatkan bajet segera.

"Saya mengumumkan peruntukan baik pulih penggantian peralatan di asrama pelajar dan penggantian alatan perabot bilik guru sebanyak RM100,000," katanya dalam Facebooknya, hari ini.

Beliau juga sempat beramah mesra dengan pelajar dan kebanyakannya menyatakan rasa puas hati dengan makanan di kantin sepanjang berbuka setakat ini serta seronok belajar di MRSM Balik Pulau.

"MARA sentiasa memastikan kebajikan pelajar dan guru terjamin serta menyediakan suasana yang kondusif bagi proses pembelajaran dan pengajaran di MRSM," katanya.

MRSM Balik Pulau adalah antara MRSM yang terawal dibina sejak tahun 1982.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 3:12 PM