(DARI kiri ) Rosnarizah, Pkharuddin, Syaiful Rizal dan Mohd Irwan ketika majlis menandatangani MoU antara KPM dan Yayasan Bank Rakyat.
(DARI kiri ) Rosnarizah, Pkharuddin, Syaiful Rizal dan Mohd Irwan ketika majlis menandatangani MoU antara KPM dan Yayasan Bank Rakyat.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) bagi menaja 100 pelajar lepasan matrikulasi cemerlang.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pihaknya memperuntukkan RM4.7 juta bagi biasiswa pendidikan untuk pelajar yang terpilih.

"Ia meliputi elaun sara diri, elaun buku, pemberian komputer riba serta peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan untuk memulakan semester baru.

"Jalinan kerjasama selama empat tahun bermula dari tahun lalu sehingga 2025 ini mensasarkan penerima seramai 25 orang pelajar setiap tahun bagi penajaan biasiswa pendidikan setiap seorang berjumlah RM47,000," katanya.

Terdahulu, Syaiful Rizal bersama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali disaksikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Pengarah Bahagian Matrikulasi, Dr Rosnarizah Abdul Halim.

Kerjasama ini juga bertujuan bagi membuka peluang kepada pelajar cemerlang khususnya yang memperoleh keputusan cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda selepas menamatkan program matrikulasi.

Menurut Syaiful Rizal, usaha antara YBR dan BMKPM ini diharap menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada pelajar yang cemerlang untuk terus berjaya di dalam dalam pendidikan serta sedikit sebanyak menyumbang kepada generasi muda yang berkaliber.

"Penajaan pelajar ini turut memandang dari aspek pembangunan modal insan negara yang mampan serta menunjukkan komitmen yang diberikan oleh YBR dan BMKPM demi membantu pelajar yang cemerlang dan tidak berkemampuan dapat mengorak langkah ke hadapan tanpa sebarang masalah kewangan.

"Kerjasama antara YBR dan BMKPM amat bersesuaian kerana usaha ini dilihat memberi keuntungan dan kebaikan bersama yang mana pelajar berpotensi menjadi prospek sumber tenaga kerja mahir apabila menamatkan pengajian serta bertepatan dengan visi dan objektif penubuhan YBR iaitu membantu masyarakat Malaysia yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 7:57 PM