INTAN Nurshahira menerima kekurangan anak tunggalnya, Lufyaa Elzzara dengan reda. FOTO Ihsan Intan Nurshahira Saridan
INTAN Nurshahira menerima kekurangan anak tunggalnya, Lufyaa Elzzara dengan reda. FOTO Ihsan Intan Nurshahira Saridan
Redzuan Muharam


Seremban: "Tiada sekelumit pun rasa benci, tak suka atau malu...macam mana pun, dia tetap zuriat saya," kata Intan Nurshahira Saridan yang dikurniakan anak sindrom down, Lufyaa Elzzara.

Lufyaa Elzzara atau dipanggil Lufyaaa, 7 bulan adalah anak kepada Intan Nurshahira, 24, hasil perkahwinannya dengan Muhammad Hazziq Aliff Azhar, 25, pada Februari tahun lalu.

Berkongsi kisah anaknya, Intan Nurshahira yang menetap di Senawang di sini, berkata, Lufyaa disahkan sindrom down selepas 10 minit dilahirkan.

Menurut Intan Nurshahira, dia dan suami hanya tahu mengenainya selepas bersalin kerana tiada masalah dikesan sepanjang tempoh kehamilannya.

"Sejak hari pertama Lufyaa dilahirkan lagi, saya dan suami sudah diberitahu oleh doktor pakar kanak-kanak mengenai keadaan anak kami.

"Cuma, hanya suami dapat lihat keadaan Lufyaa pada hari pertama, manakala saya hanya berpeluang tengok wajah anak keesokannya.

"Jujurnya, tiada langsung perasaan sedih malah bersyukur dikurniakan anugerah anak istimewa dan boleh terima Lufyaa sejak hari pertama lagi.

"Suami yang jadi kekuatan saya kerana dia sayang sangat dekat anak, tak kenal erti malu sebaliknya selalu beri saya semangat untuk sama-sama besarkan Lufyaa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan keadaan Lufyaa, Intan Nurshahira berkata, anaknya itu diintubasi selama sebulan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas dilahirkan.

"Selain itu, ada beberapa rawatan lain dan janji temu pakar di kanak HTJS, pemeriksaan jantung di Hospital Serdang, Selangor, genetik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain sesi fisioterapi di Klinik Kesihatan Senawang.

"Keadaannya sekarang bertambah baik cuma saya dan suami masih rujuk dengan pakar untuk tahu masalah dalamannya kerana bayi macam Lufyaa agak sensitif serta perlukan lebih perhatian," katanya.

Soal rutin harian pula, Intan Nurshahira berkata, Lufyaa masih meniarap dan sudah mula makan dan minum.

Intan Nurshahira gunakan masa bersama Lufyaa untuk merakam detik bersama anaknya itu sebagai kenangan.

"Saya kongsikan video di TikTok supaya mereka yang mempunyai anak syurga seperti anak saya dan masih tidak boleh terima, dapat kekuatan selepas melihat hantaran dimuat naik.

"Terima kasih kepada yang sentiasa menonton video dan mendoakan Lufyaa.

"Semoga dimurahkan rezeki, diberkati Allah dan semoga doa yang baik itu berbalik kepada semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 2:03 PM