Mohd Iskandar Ibrahim

mohd_iskandar@@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sedia mempertahankan kerusi Parlimennya atas tiket Bebas jika dipecat daripada Umno.

Tajuddin berkata, sokongan kepada beliau tetap kuat biarpun ketika tsunami politik berlaku pada pilihan raya umum sebelum ini.

"Tapi kalau mereka (Umno) berkasar, saya boleh berkasar tanding Bebas, masa 'tsunami' (politik) pun sokongan (saya) naik, tak pernah kalah," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pelawaan Pas yang sedia menawarkan beliau sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak atas tiket Pas.

Pas Perak sebelum ini dilaporkan sedia menawarkan kerusi kepada Tajuddin mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sidang media Tajuddin, semalam. FOTO EIZAIRI
Sidang media Tajuddin, semalam. FOTO EIZAIRI

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tawaran itu dibuat selepas Tajuddin digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Mengulas lanjut, Tajuddin sambil tersenyum berkata, beliau sedia mempertimbangkan pelawaan itu namun enggan menyertai parti terbabit.

"Boleh dipertimbangkan...not a bad idea tetapi tak adalah saya nak masuk Pas. Saya ini orang parti, orang Umno.. 50 tahun dalam parti, daripada seorang budak kampung sehinggalah apa yang saja ada sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 6:02 PM