SCAMMER menggunakan gambar Azizan untuk mengaburi mata orang ramai.
SCAMMER menggunakan gambar Azizan untuk mengaburi mata orang ramai.

Shah Alam: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati terhadap kumpulan Telegram dan laman web 'skim pelaburan' penipuan yang menggunakan gambar dan profil Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman.

RichWorks dalam satu kenyataan menjelaskan sejak kebelakangan ini didapati terdapat kumpulan Telegram, malah iklan Facebook menggunakan profil pengerusi syarikat itu bagi mempromosikan dan menarik minat orang menyertai skim mereka.

"Sehubungan itu, kami ingin mengingatkan orang ramai terutama usahawan tidak mudah terpengaruh dengan skim berkenaan yang tidak pun sah.

"Laporan polis sudah dibuat di balai polis di Shah Alam agar tindakan susulan diambil terhadap pelaku atau admin pihak berkenaan," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Azizan mengingatkan orang ramai berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dengan modal kecil dan pantas.

Didapati ada yang guna gambar atau profil beliau dan nama RichWorks untuk 'scam' atas nama forex, bitcoin atau apa sahaja bentuk aktiviti pelaburan.

Antara modus operandi mereka ialah beroperasi di aplikasi Telegram dengan meletakkan gambar public figure palsu dan kemudian memasukkan nombor telefon anda ke dalam kumpulan telegram berkenaan.

Anda akan lihat mereka dan rakan bersekongkol berkongsi bukti keuntungan pelaburan sertai bukti slip pembayaran bank memasukkan wang pelaburan atau mereka sudah terima wang pelaburan.

Bila melihat bukti keuntungan pelaburan, anda akan diundang melabur dan berhubung terus dengan admin yang uruskan Telegram berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 9:16 AM