Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Umno akan menyelesaikan secara dalaman kedudukan keahlian Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang sebelum ini dilaporkan digantung daripada parti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan diselesaikan secara dalaman sejajar semangat Kerajaan Perpaduan memandangkan Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan masih wakil rakyat Kerajaan Perpaduan.

"Untuk beliau (Shahelmey), di peringkat nasional dia masih Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, manakala di peringkat negeri beliau juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili Kerajaan Perpaduan.

"Biarpun keahliannya itu secara automatik gugur tapi kita mempunyai semangat dalam Kerajaan Perpaduan, maka tindakan kita lakukan secara dalaman," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penutupan Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Shahelmey yang sehingga kini belum menerima surat penggantungan keahlian daripada Umno.

Pada 18 Mac lalu, Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan bahawa Shahelmey digantung daripada Umno selama enam tahun berikutan tindakannya membelakangkan keputusan parti.

Sebagai maklum balas terhadap keputusan itu, Shahelmey yang juga Adun Tanjung Keramat sebelum ini berkata, beliau tidak akan merayu berhubung tindakan yang diputuskan Umno.

Ketika kemelut politik Sabah pada Januari lalu, Shahelmey menentang keputusan Umno negeri untuk keluar daripada kerjasama membentuk kerajaan negeri dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain Shahelmey, empat lagi Adun Umno Sabah yang menentang keputusan itu ialah Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamild Awang (Balung).

Kecuali Shahelmey, mereka mengumumkan keluar parti pada 21 Februari lalu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 5:30 PM