Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menyampaikan ucapan beliau ketika perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2023 sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menyampaikan ucapan beliau ketika perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2023 sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: DAP digesa membuat permohonan maaf segera atas segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sepanjang kedua-dua parti bermusuhan sebelum ini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat sekiranya mahu melembutkan hati orang UMNO terutama ketika berhadapan pilihan raya akan datang.

Katanya, Pemuda UMNO turut menuntut DAP membuktikan parti itu tidak mempunyai agenda perkauman dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"DAP perlu membuktikan segala tohmahan, pemikiran, cakap-cakap tentang anti Melayu, anti Islam, rasis, 'communist centric' tidak sama sekali berlaku dalam Kerajaan Perpaduan ini.

"Kalau jujur, kenapa dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak) boleh buat, kenapa bukan dengan kita?

"Saya mohon kepimpinan DAP kalau nak menempuh pilihan raya yang akan datang, mahu hati orang UMNO lembut, maka satu tuntutan maaf atas tohmahan yang diberikan kepada UMNO selama ini mesti dilakukan segera," katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu berkata, pihaknya tidak mahu berselindung lagi mengenai perkara itu dan ia adalah cara Pemuda UMNO.

"Inilah cara kita. Kita tak ada selindung lagi, kita kena jujur dengan apa yang kita junjung. Inilah luahan hati akar umbi.

"Kita tak nak cakap benda baik sahaja. Kena cakap realiti apa yang berlaku di bawah ini. Supaya kita dapat selesaikan perkara pokok ini," katanya.

Tegasnya, walaupun kedua-dua parti kini menjadi antara 19 komponen parti membentuk Kerajaan Perpaduan, namun terdapat garisan yang perlu dihormati.

"Kita bersama untuk membentuk kerajaan. Kita berkongsi ruang pentadbiran, tetapi bukan ruang fahaman. Kita rentas politik kepartian, tapi kita sempadankan prinsip perjuangan.

"Kalau ada yang berani melintas prinsip perjuangan ini, Pemuda UMNO yang pertama akan datang mencantas orang itu.

"UMNO tidak akan sesekali menjadi DAP dan kita tidak pernah minta DAP menjadi UMNO. Kita nak tegaskan, Pemuda UMNO akan pastikan yang UMNO ini tidak akan sesekali menjadi pengikut DAP. Itu wajib dan itulah suara Pemuda UMNO Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 12:32 PM