Abdul Hameed menunjukkan laporan polis berkaitan individu yang menabur fitnah dengan mendakwanya mencemari makanan dijual. FOTO Mary Victoria Dass
Abdul Hameed menunjukkan laporan polis berkaitan individu yang menabur fitnah dengan mendakwanya mencemari makanan dijual. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pengurus restoran nasi ganja di Taman Daya di sini, hari ini membuat laporan polis selepas difitnah meludah dalam masakan melalui video yang tular di media sosial sejak semalam.

Abdul Hameed Mohammed, 54, berkata dia membuat laporan Balai Polis Pelangi Indah di sini, hari ini susulan kecewa dengan individu menabur fitnah menyatakan dia meludah dalam makanan hingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Katanya, dia terkilan dengan video yang tular menerusi aplikasi WhatsApp apabila dimaklum oleh rakannya pada 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, ada individu yang mendakwa dia meludah dalam makanan ketika mengambil nasi dalam periuk.

"Video berkenaan asalnya adalah rakaman satu bagi membantu promosi restoran di Facebook dan dengan kebenaran kami.

"Tidak masuk akal saya melakukan perbuatan itu (meludah) ketika mengetahui seseorang sedang merakam bagi membantu mempromosi restoran kami.

"Sebenarnya ketika itu saya hanya melihat ke dalam periuk untuk menyingkirkan kayu manis dan bahan lain seperti serai dan daun pandan ketika meletakkan nasi di pinggan, bukan meludah. Periuk itu agak besar hingga saya perlu menunduk," katanya ketika ditemui hari ini.

Abdul Hameed berkata, selain menyebarkan video dengan kapsyen fitnah, terdapat seorang individu juga bertindak berkongsi pendapat yang berunsur fitnah menerusi pesanan suara tanpa mengetahui perkara sebenar.

Menurutnya, perbuatan lelaki itu boleh mengelirukan ramai termasuk pelanggannya.

Katanya, lelaki berkenaan tidak seharusnya membuat kesimpulan berdasarkan pergerakan bibirnya atau imej tanpa mengetahui perkara sebenar.

Abdul Hameed berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang membuat fitnah.

Terdahulu tular video di WhatsApp bersama kapsyen menyatakan pengurus restoran berkenaan meludah dalam makanan.

Manakala menerusi pesanan suara pula, seorang individu mendesak supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pekerja restoran yang didapati melakukan perbuatan mencemari makanan dengan meludah.

Dia mendakwa perbuatan itu menjadi sebahagian kepercayaan dan amalan sesetengah peniaga.

Malah video sama turut tular di akaun seorang individu di TikTok hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 3:55 PM