Kadhar Shah (duduk tengah) menunjukkan laporan polis mengenai daging anjing digunakan di restoran mamak.
Kadhar Shah (duduk tengah) menunjukkan laporan polis mengenai daging anjing digunakan di restoran mamak.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Bukit Mertajam: Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (PRIM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya daging kambing digantikan dengan daging anjing dan menjadi menu masakan di restoran nasi kandar di negara ini seperti tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Presiden PRIM Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, penyebaran dakwaan itu memburukkan imej serta menjejaskan reputasi restoran mamak menyebabkan dia memberikan tempoh tiga hari kepada pemilik Facebook (FB) bernama Udin Di Raja yang memuat naik perkara itu supaya memohon maaf secara terbuka di status FB miliknya.

Beliau berkata, tempoh itu bermula semalam dan PRIM tidak akan teragak-teragak mengambil tindakan sepatutnya jika individu berkenaan tidak berbuat demikian dengan kadar segera.

“Sebanyak 320 pengusaha restoran nasi kandar yang berdaftar di bawah PRIM marah dan kecewa dengan kenyataan dimuat naik pemilik FB berkenaan bernama Udin Di Raja kerana ia memberi imej buruk dan negatif terhadap perniagaan mereka.

“Artikel ini sebenarnya tersebar luas di stesen televisyen di Tamil Nadu, India sebelum ia diambil individu tidak bertanggungjawab di negara ini dengan menukar tajuk dan isi kandungan sebelum menyebarkannya hingga menjadi tular seolah-olah perkara itu berlaku di negara ini,” katanya pada sidang media di Restoran Nasi Kandar Nasmir di Auto City, Juru, semalam.

Beliau sebelum itu membuat laporan di Balai Polis Bukit Tengah, di sini, berhubung perkara berkenaan.

Kadhar Shah berkata, selain pemilik FB berkenaan, beliau menasihatkan orang ramai atau individu lain supaya tidak turut sama menyebarkan berita sama dan meminta tular itu dihentikan segera.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengabaikan fitnah berkenaan kerana ia tidak benar dan restoran nasi kandar atau mamak di seluruh negara menggunakan 100 peratus bahan makanan halal dan 80 peratus pengusaha sudah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya mempunyai 13 sijil halal daripada JAKIM menyebabkan pengguna dan pengunjung tidak perlu risau serta was-was ketika menikmati hidangan di restoran Nasmir.

“Saya tidak pasti apa motif penyebaran perkara fitnah seperti ini dan meminta orang ramai tidak terpengaruh serta selidik setiap maklumat dengan betul sebelum menyebarkannya di laman sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 7:25 AM