TANGKAP layar video tular
TANGKAP layar video tular
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Penjelasan peniaga nasi ayam dan nasi itik di Sungai Ara, Bayan Lepas bahawa mereka hanya membasuh barang perniagaan di premis menjual makanan yang sama bagi bukan Islam menimbulkan keraguan.

Ahli Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain berkata, beliau sudah bertemu dengan dua individu iaitu peniaga gerai terbabit kira-kira jam 12 tengah hari semalam bagi meminta penjelasan sebenar.

Menurutnya yang juga Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Huda Sungai Ara, jika peniaga itu berada di pihak yang benar, mereka perlu membuat laporan polis.

"Dua individu terbabit menyatakan tujuan mereka ke premis yang terletak di Paya Terubong itu adalah untuk mencuci perkakas perniagaan yang digunakan.

"Bila saya jumpa mereka dan tunjuk video yang menunjukkan beberapa barang seperti bekas makanan dihantar ke sebuah kedai makan bukan Islam di Paya Terubong dan mereka tidak menafikan perkara itu dan kata hantar untuk basuh barang niaga sahaja.

"Bila saya tanya makanan masak di mana mereka jawab di sebuah premis di Persiaran Gurney. Masak di Gurney, jual di Sungai Ara tetapi hantar barang untuk dibasuh di Paya Terubong bukankah tidak masuk akal?", katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sophian berkata yang menjadi keraguan ialah gerai peniaga dan kedai makan terbabit mempunyai menu yang sama iaitu nasi ayam dan nasi itik dan dikhuatiri berlaku percampuran bukan sahaja dalam aspek penggunaan bekas yang digunakan malah makanan itu sendiri.

Beliau difahamkan bahawa gerai peniaga terbabit popular selain pernah tular di media sosial dan mereka sudah berniaga di lokasi tersebut kira-kira setahun.

"Perniagaan mereka memang viral (tular) dan ramai orang beratur untuk beli makanan di situ dan kalau mereka rasa tidak bersalah sewajarnya buat laporan polis dan pertahankan perniagaan.

"Sebaliknya mereka umum tutup perniagaan secara rasmi dan perkara ini menimbulkan persoalan kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 10:22 PM