AL-Sultan Abdullah bersama Tengku Hassanal di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pusat Biodiversiti Lanchang. FOTO Facebook Istana Negara
AL-Sultan Abdullah bersama Tengku Hassanal di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pusat Biodiversiti Lanchang. FOTO Facebook Istana Negara
Redzuan Muharam


Temerloh: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan populasi Harimau Malaya yang semakin pupus berpunca aktiviti pemerdagangan dan pemburuan haram tanpa belas kasihan.

Seri Paduka bertitah, usaha bersepadu dari semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan perlu diwujudkan segera bagi memelihara dan mengelakkan kepupusan ikon negara dan semua hidupan liar lain.

"Harimau Malaya bukan saja menjadi ikon negara malah ia adalah penunjuk kesihatan eko sistem dan kekayaan hutan negara.

"Namun demikian makhluk hebat ini dan spesis hidupan liar lain berhadapan dengan pelbagai ancaman. Kajian habitat harimau sekitar tahun 2016 hingga 2018 merekodkan populasi Harimau Malaya adalah kurang dari 200 ekor saja kini.

"Pada hemat beta, pemeliharaan hidupan liar dan eko sistem serta hutan negara yang menjadi habitat kepada Harimau Malaya serta spesis hidupan liar lain perlu terus diperkasakan.

"Usaha murni turut memerlukan pembiayaan, latihan, teknologi dan juga kerjasama di peringkat antarabangsa," titah baginda sempena Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pusat Biodiversiti Lanchang, di sini, tadi.

Majlis turut dihadiri Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abd Kadir Abu Hashim.

ABD Kadir memberikan penerangan berhubungan terbitan buku Harimau Malaya kepada Al-Sultan Abdullah.
ABD Kadir memberikan penerangan berhubungan terbitan buku Harimau Malaya kepada Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah, masyarakat Orang Asli boleh memainkan peranan dalam usaha pemeliharaan dan perlindungan warisan semulajadi kita.

"Selain itu, pendidikan dan kesedaran dari bangku sekolah lagi turut menyumbang kepada usaha murni ini.

"Anak-anak kita mesti ditanam dengan rasa cinta mendalam terhadap alam semulajadi dan hidupan liar.

"Cara ini berupaya untuk memupuk sifat empati terhadap hidupan liar dan alam sekitar dan seterusnya berupaya membentuk generasi akan datang yang menghargai kepada nilai murni penjagaan alam semulajadi dan eko sistem negara," titah baginda.'

Titah baginda lagi, pemasyhuran Rizab Harimau Di Raja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal adalah simbol kepada komitmen, dedikasi dan keazaman negara untuk memelihara alam semulajadi dan hidupan liar.

Baginda bertitah, ia juga adalah manifestasi kepada komitmen Pahang dalam memelihara warisan negara.

"Justeru, saya ingin menzahirkan terima kasih kepada Paduka Anakanda Pemangku Raja Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) atas usaha berterusan tanpa mengenal pasti erti jemu untuk berjuang mempertahankan masa hadapan Harimau Malaya, spesis hidupan lair dan ekosistem negara.

"Hakikatnya, kepupusan sesuatu spesis bakal membawa kesan yang besar ke atas kitaran dan kestabilan eko sistem negara.

"Kepincangan ke atas eko sistem negara berlaku lantaran sikap segelintir kita yang tidak mensyukuri kepentingan ciptaan Ilahi

"Bersempena hari yang penuh bersejarah ini, marilah sama-sama kita beriltizam mengubah sikap supaya kita mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi dan dan bersama memelihara kepentingan makhluk lain supaya alam semesta ini dapat kita wariskan buat generasi yang akan datang," titah baginda.

AGONG Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal pada Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pusat Biodiversiti Lanchang, di sini, semalam.
AGONG Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal pada Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pusat Biodiversiti Lanchang, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 4:27 PM