Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham

Dungun: Peruntukan berjumlah RM460.2 juta yang diterima Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk pembangunan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), membabitkan 15,272 unit rumah, tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merangkumi pembinaan 3,030 unit rumah baharu dengan peruntukan RM244.4 juta dan membaik pulih 12,242 rumah yang akan membabitkan perbelanjaan RM215.8 juta.

"Peruntukan PPRT bagi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) adalah sebanyak RM2.16 juta, yang akan membabitkan 76 rumah, merangkumi 20 bina baharu (RM1.32 juta) dan 56 rumah dibaik pulih (RM840,000)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said.

Anwar berkata, KKDW turut menerima peruntukan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) sebanyak RM12 juta membabitkan bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPP)-Individu dan PPP-Mentor Mentee, tahun ini.

Menurutnya, 84 individu dijangka menerima manfaat itu di Terengganu dengan sebanyak RM797,250 disalurkan kepada agensi pelaksana, manakala bantuan PPP diterima 30 peserta Ketengah berjumlah RM252,000.

Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 6:47 PM