GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Desas desus mengenai ada calon 'heavyweight' Perikatan Nasional (PN) Kedah akan beralih ke kerusi selamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos depan mula kedengaran.

Sumber berkata, ia membabitkan mereka yang memegang jawatan utama dalam parti dan dijangka beralih ke kawasan yang menjadi kubu sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, ia termasuklah tokoh di Kedah yang akan membawa cabaran sebagai 'panglima perang' pada PRN kali ini.

"Difahamkan, ia timbul kerana pemimpin ini rasa tergugat di Dun yang diwakili sebelum ini. Mungkin dia akan bertanding itu di kubu yang mempunyai sokongan kuat dari penyokong parti," katanya.

Sementara itu beberapa nama berkemungkinan akan digugurkan oleh Perikatan Nasional (PN) Kedah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos depan.

Antara yang disebut-sebut adalah Datuk Azman Nasrudin dan Dr Robert Ling Kui Ee, masing-masing adalah penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sidam dan Lunas.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kedua-dua penyandang itu berkemungkinan tidak akan dicalonkan semula untuk bertanding dalam PRN kali ini.

"Ini kerana beban yang dibawa sejarah politik sebelum ini mungkin akan memberikan satu konotasi atau imej yang negatif kepada PN itu sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Pada Mei 2020, Azman dan Robert Ling mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan menjadi Adun bebas yang menyokong Perdana Menteri sewaktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan dua Adun itu menyebabkan hilangnya majoriti gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah Kedah.

Ia seterusnya mengakibatkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sewaktu itu menjawat jawatan Menteri Besar meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, beberapa nama berkemungkinan akan dicalonkan semula untuk bertanding di kawasan yang pernah ditandingi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Antara nama yang akan bertanding semula dan mempertahankan kawasan yang diwakili adalah penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas, Datuk Siti Aishah Ghazali.

Menurut Mohammad Tawfik, Siti Aishah berkemungkinan akan mempertahankan kawasan yang diwakilinya disebabkan mempunyai rekod yang baik sebagai seorang Exco Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Rakyat, Pembasmian Kemiskinan serta semasa menjadi Adun.

Sementara itu, desas-desus turut bertiup kencang apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkemungkinan akan bertanding di DUN Derga.

Mahfuz ketika dihubungi sebaliknya menyatakan beliau tidak mengetahui akan bertanding di kawasan itu.

"Saya pun tak tahu lagi. Tiada siapa beri maklumat dekat saya. Yang saya tahu parti belum buat keputusan pemilihan calon di mana yang akan dipertandingkan," kata bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu.

Semasa PRU14, DUN Derga dimenangi oleh Tan Kok Yew daripada PH dengan memperoleh majoriti 5,265 undi mengalahkan Yahya Saad (Pas) dan Dr Cheah Soon Hai (BN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 12:52 PM