Muhammad Sanusi ketika mengangkat sumpah sebagai MB Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar. FOTO BERNAMA
Muhammad Sanusi ketika mengangkat sumpah sebagai MB Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar. FOTO BERNAMA
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah dilaporkan tidak berpuas hati dengan proses pembahagian jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bakal diumumkan esok.

Ini kerana BERSATU dijangka hanya diperuntuk tiga jawatan EXCO dalam pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berbanding lima ketika pelantikan pada 2020.

Difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad dijangka dilantik semula ke jawatan EXCO selain dua lagi muka baharu yang menang Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu.

Dua muka baharu berkenaan berkemungkinan besar adalah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Kubang Rotan, Datuk Mohd Salleh Saidin.

Sumber berkata, BERSATU kesal apabila hanya tiga wakil parti itu bakal dilantik ke jawatan EXCO selepas pihaknya menyumbang 11 kerusi dalam kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada 12 Ogos lalu.

"Kami sangat kecewa dan kesal apabila dimaklumkan hanya diperuntuk tiga jawatan EXCO sedangkan pada penggal lalu, kami diberikan lima jawatan EXCO termasuk jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

"Kami tidak mahu apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu apabila hanya masing-masing satu jawatan EXCO diberikan kepada wakil BERSATU sedangkan kami sama-sama bekerja untuk PN di negeri terbabit," katanya ketika menghubungi BH di sini, hari ini.

Pada 2020, BERSATU diwakili lima wakil iaitu Halimaton, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail, Datuk Azman Nasrudin, Mohd Firdaus Ahmad dan Dr Robert Ling Kui Ee.

Bagaimanapun Ku Abd Rahman dan Azman tidak bertanding pada PRN kali ini, apabila masing-masing menang kerusi Parlimen Kubang Pasu dan Padang Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Firdaus dan Dr Robert pula tidak bertanding pada PRN lalu, kerana mahu memberi laluan kepada muka baharu.

Selain itu, Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat juga tidak bertanding pada PRN lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 11:38 AM