Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) digesa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) akan memusnahkan tokong sekiranya memerintah Pulau Pinang.

Ketua Penerangan Pas Khairil Nizam Khirudin mendakwa, fitnah dan kenyataan bersifat ekstrem itu adalah bukti kepada wajah sebenar pemimpin utama DAP yang sentiasa meniupkan api sentimen perkauman dan agama sehingga mewujudkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat Malaysia.

"Kenyataan tidak bertanggungjawab ini menunjukkan bahawa DAP yang terpaksa bekerjasama dengan Umno dalam keadaan sangat terdesak dan ketandusan idea untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Pas mengutuk sekeras-kerasnya naratif Islamofobia yang dibawa oleh pemimpin utama DAP ini.

"Kenyataan ini ternyata membenarkan dakwaan pelbagai pihak bahawa selama ini DAP adalah penyambung lidah rasmi kepada gerakan Islamofobia yang memusuhi Islam di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Khairil Nizam berkata, insiden itu jelas memberi indikasi bahawa ideologi serta agenda 'Malaysian Malaysia' yang dibawa oleh DAP adalah tidak bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Pas menyeru kepada umat Islam di seluruh negara untuk tampil membuat laporan polis ke atas ucapan pemimpin utama DAP yang secara jelas menghina keadilan Islam secara terbuka demi kepentingan politik DAP.

"Pas yakin pihak PDRM dan kementerian yang berwajib akan bersikap adil 'without fear and favour' lebih-lebih lagi dalam isu yang membabitkan 3R (raja, kaum dan agama) seperti ini," katanya.

Sementara itu, Guan Eng menafikan pernah mendakwa PN akan merobohkan tokong sekiranya berjaya menawan Pulau Pinang.

Sebaliknya katanya, ucapan dalam bahasa Mandarin dibuatnya itu telah diputarbelitkan seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau tokong Cina.

"Ini tidak benar. Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah membakar sentimen perkauman agama dan kaum," katanya.

Beliau berkata, ucapannya itu dibuat merujuk kepada kes sebuah tempat ibadat Hindu yang dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah.

"Langsung tidak terlintas difikiran saya untuk menggunakan isu 3R untuk meraih undi kerana saya yakin ia hanya akan memudaratkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di dalam negara.

"Saya harap semua pihak akan menjunjung keluhuran Perlembagaan yang dengan jelas menyatakan Islam sebagai agama rasmi, dan penganut agama lain bebas mempraktikkan kepercayaan mereka dengan selamat dan aman di mana-mana negeri dalam Persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 11:10 AM