TAKIYUDDIN Hassan. Arkib NSTP.
TAKIYUDDIN Hassan. Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pas memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan-rakan kongsi dalam kerajaan meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar di kalangan parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, itu dibuktikan semasa penyertaan parti itu dalam kerajaan Persekutuan selama 31 bulan sebelum ini di mana Pas sentiasa akur kepada segala keputusan bersama (collective decision) sama ada di dalam Kabinet mahupun di peringkat kementerian dan agensi kerajaan.

"Pas sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, adat resam dan agama dan mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing berdasarkan jaminan Perlembagaan Persekutuan.

"Pas membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh Pas di Kelantan lebih dari 30 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, justeru itu, Pas menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka akan menggunakan kedudukan yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar yang menekan mana-mana pihak, apatah lagi di Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani hidup yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing.

"Malahan Pas amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu 'tiada paksaan dalam beragama' dengan mana tidak boleh dipaksa seseorang bukan Islam untuk menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kefahaman mereka sendiri.

"Pas juga ingin menarik perhatian bahawa pemimpin dan ahli-ahli Pas terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besarnya profesional dalam pelbagai bidang.

"Dengan demikian mereka akan menunaikan tanggungjawab secara profesional juga apabila diberikan kedudukan dan peranan di dalam kerajaan dan agensinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 8:57 PM