GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: PKR dijangka bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Ahmad Sabri Ali berkata, parti itu akan segera membuka bilik gerakan di tiga DUN berkenaan.

Katanya, tiga DUN itu ialah Wakaf Mempelam, Sura dan Manir.

"Walaupun dianggap sebagai kubu kuat Pas tetapi semua jentera pilihan raya termasuk daripada Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menggempur DUN berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tiga DUN berkenaan dikuasai calon Pas.

Ketika mengulas persiapan PKR, Ahmad Sabri berkata, semua jentera parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah bersedia walaupun tiga kubu itu dianggap sukar dimenangi parti lain.

"Lawan tetap lawan, jentera PKR dengan dibantu jentera pilihan raya Umno sudah bersedia menghadapinya," katanya.

Mengenai calon PKR, Ahmad Sabri berkata, proses perbincangan bagi menentukan calon akan diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 4:29 PM