MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib BERNAMA
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, enggan mendengar penjelasan perkembangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Namun kata Muhammad Sanusi, Anwar membuat kenyataan seolah-olah sudah mengetahui berkaitan semuanya.

Muhammad Sanusi turut mempersoalkan kemungkinan Perdana Menteri hanya mendengar daripada pihak tertentu yang memang diketahui umum menentang projek itu.

Ini kerana, kata Muhammad Sanusi, pembangunan projek itu diusahakan sejak sembilan tahun lalu dan hal-hal yang menjadi alasan Perdana Menteri untuk mengelak kelulusan itu sudah pun ditangani.

"Perkara itu ditangani melalui sesi-sesi libat urus dan perundingan Jawatankuasa Teknikal KXP Airportcity (syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Kedah) sebagai pemaju Kedah Aerotropolis dengan semua jabatan dan agensi berkaitan sejak sembilan tahun lalu.

"Laporan berkenaan juga sudah beberapa kali disediakan dan dibentangkan oleh konsultan yang dilantik oleh KXP Airportcity dan Unit Perancang Ekonomi (JPM) sebelum ini," katanya pada kenyataan menerusi Facebook beliau malam tadi.

Semalam, media melaporkan, Anwar menyangkal dakwaan Kerajaan Persekutuan menindas mana-mana negeri dalam soal penyaluran peruntukan mahupun pembangunan, termasuk dalam isu pembinaan KXP di Kedah.

Anwar berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang memerlukan kajian yang teliti sebelum boleh dilaksanakan kerana ia membabitkan beberapa aspek penting, terutamanya keselamatan negara, selain perlu melalui prosedur dan peraturan yang tertentu.

"Perlu tanya TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia), boleh lepas atau tidak zon penerbangan...ada yang kata Tan Sri Syed Mokhtar (Albukhary) akan bayar (projek pembinaan KXP) dan saya tanya dia (Syed Mokhtar), kalau nak buat kenapa tak beritahu saya.

"Syed Mokhtar jawab kepada saya, abang, saya tiada cadangan nak buat lapangan terbang, ada banyak kerja dah.

"Lapangan terbang ini bukan boleh bagi senang-senang nak buat...ia sentuh soal keselamatan negara, kalau nak jadi pemimpin kena reti sikit, kena ngaji lebih daripada orang lain," kata Anwar.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Jawatankuasa Teknikal pembangunan Kedah Aerotropolis diketuai oleh individu yang berpengalaman iaitu Tan Sri Ir Dr Jamilus Husin iaitu tokoh yang mengetuai pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) satu masa dulu.

Kata Muhammad Sanusi, Jamilus sangat memahami selok belok, keperluan dan kaedah membina dan mengendalikan projek itu.

"Beliau diberi jolokan 'The Airport Man' dalam dunia pembangunan lapangan terbang. Tan Sri Jamilus juga adalah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah KXP Airportcity.

"Tentang pembiayaan, tokoh korporat yang disebutkan oleh Perdana Menteri kononnya tidak berhasrat membiayai projek itu juga sebetulnya tidak terbabit sebagai pemaju selepas gagal menjawab surat yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kewangan dan Tender Kedah Aerotropolis.

"Beliau hanyalah satu pihak daripada berpuluh-puluh syarikat yang sudah mengemukakan kertas cadangan dalam RFP yang dilaksanakan.

"Walaupun beliau yang memohon untuk terbabit melalui kaedah RFP dan hadir dalam proses-proses saringan, namun beliau gagal menjawab dalam tempoh yang ditetapkan, selepas Anwar 'memberi bayangan' dalam pembentangan Belanjawan Negara 2023. Beliau sudah menjadi sebahagian daripada sejarah," jelas beliau.

Muhammad Sanusi berkata, kini sudah ada pihak lain yang akan membiayai projek KXP namun beliau tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 12:56 PM