MUHAMMAD Sanusi mahu adakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan projek Kedah Aerotropolis. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi mahu adakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan projek Kedah Aerotropolis. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan projek Kedah Aerotropolis.

Muhammad Sanusi berkata, pertemuan itu perlu bagi memberi penerangan penuh kepada Anwar bahawa projek itu tidak akan membabitkan wang kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Mukim Sidam Kiri, Kuala Muda akan dilaksanakan melalui kaedah Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

"Saya telah mengarahkan KXP Holding mengaturkan pertemuan bersama Perdana Menteri yang belum mendapat gambaran penuh mengenai projek yang dicadangkan ini.

"Saya difahamkan beliau ingat kita nak pakai duit kerajaan Persekutuan dan dalam keadaan kantung kewangan kerajaan yang kurang memberangsangkan, tentu kerajaan berpandangan projek ini perlu ditangguhkan.

"Saya ingin beri penjelasan sepenuhnya mengani projek ini dan komponennya yang lain bahawa ia akan dilaksana secara PFI," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Selain pembinaan KXP, Kedah Aerotropolis turut akan membabitkan projek Logistik Sidam, Hab Pengeluran dan Aeroangkasa (SLAM) dan Lebuhraya Koridor Utara.

Muhammad Sanusi berkata, pertemuan itu perlu bagi memberi kefahaman jelas kepada kerajaan Persekutuan dan seterusnya menyokong projek berkenaan.

"Dari segi teknikal, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kewangan Kedah Aerotropolis sudah menjalankan sesi temu duga bersama syarikat yang berminat membangunkan Kedah Aerotropolis.

"Ada dua syarikat disenarai pendek dan kita ada bertemu mereka di Kuala Lumpur dua minggu lalu, ada beberapa aspek teknikal akan dikenal pasti untuk syarikat ini penuhi sebelum keputusan melantik syarikat pelaksana projek Kedah Aerotropolis dapat diputuskan.

"Kita juga akan selesaikan isu pengambilan balik tanah kerana kerana kerajaan negeri dinasihat memastikan ia diselesaikan terlebih dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 6:05 PM