HERMONO ketika berucap pada Seminar bertajuk ‘Fraternal Function in Migration: Reshaping Malaysia-Indonesia Future Relationship di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya. FOTO Bernama
HERMONO ketika berucap pada Seminar bertajuk ‘Fraternal Function in Migration: Reshaping Malaysia-Indonesia Future Relationship di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Di saat hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia semakin meningkat, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, menegaskan keperluan untuk mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat.

Beliau menyatakan bahawa ketidakharmonian dalam hubungan rakyat dengan rakyat boleh menjejaskan hubungan dua hala dalam jangka masa panjang.

Diplomat itu berkata, Malaysia dan Indonesia boleh menjadi tunjang di rantau Asia Tenggara, tetapi ini tidak boleh dicapai jika sentimen serumpun (keluarga) atau perasaan 'bersatu' tidak diterima oleh rakyat kedua-dua negara.

"Ahli politik, pemimpin sentiasa datang dan pergi. Di Malaysia, dalam tempoh lima tahun lepas, anda mempunyai empat perdana menteri.

"Jadi kita tidak boleh bergantung kepada ahli politik, tetapi hubungan rakyat dengan rakyat akan sentiasa kekal," katanya pada Seminar bertajuk 'Fraternal Function in Migration: Reshaping Malaysia-Indonesia Future Relationship' di Universiti Malaya di sini, pada Selasa.

Hermono mengetengahkan tiga isu yang sering mencetuskan pergeseran dalam kalangan rakyat kedua-dua negara – penganiayaan terhadap pekerja asing Indonesia, pertikaian sempadan dan warisan budaya yang dikongsi.

Beliau berkata, kedua-dua negara berjaya mencari penyelesaian kepada dua daripada masalah itu.

Pertikaian ikon budaya boleh diselesaikan dengan menyerahkan warisan budaya yang dikongsi kepada Unesco.

Sementara itu, dua perjanjian penting mengenai persempadanan laut wilayah negara di bahagian Selat Melaka dan Laut Sulawesi sudah ditandatangani semasa lawatan Presiden Joko Widodo ke Malaysia awal bulan ini.

Kedua-dua negara juga berjanji untuk menyelesaikan isu sempadan yang lain menjelang Jun 2024.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu berkaitan pekerja asing Indonesia seperti penderaan mental dan fizikal, gaji tidak dibayar dan eksploitasi, masih belum diselesaikan.

"Minggu lalu, kami menerima keputusan mahkamah buruh. Seorang pembantu rumah sudah bekerja selama 16 tahun, tetapi majikan hanya membayarnya (pembantu rumah) untuk enam tahun pertama.

"Kami mendapati banyak kes gaji tidak dibayar seperti ini," katanya sambil menekankan keperluan untuk mengukuhkan perlindungan pekerja asing Indonesia di Malaysia.

Bagi membantu Malaysia dalam menangani isu pekerja tanpa izin, Hermono berkata, negara itu sudah menjalankan operasi besar-besaran dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk memerangi pemerdagangan manusia.

"Sekitar 480 pesalah sudah ditahan dan (operasi) ini akan diteruskan dan diharapkan dengan berbuat demikian, kita (Indonesia) dapat mengurangkan bilangan pekerja tanpa izin di Malaysia.

"Kita tidak boleh bergantung kepada Malaysia sahaja untuk menyelesaikan masalah ini," katanya sambil menambah bahawa majikan cenderung untuk mengambil pekerja tanpa izin untuk mengurangkan kos.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia pada 10 Jun lalu, terdapat 450,000 pekerja Indonesia direkodkan oleh Kerajaan Malaysia setakat ini, berbanding 1.5 juta pekerja yang direkodkan oleh Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Hermono turut menekankan persepsi negatif terhadap pendatang Indonesia dalam kalangan rakyat Malaysia yang turut mewujudkan pergeseran antara rakyat kedua-dua negara.

"Jadi, ini satu lagi isu perlu diselesaikan oleh kedua-dua kerajaan. Jika tidak, kita akan mempunyai hubungan yang sangat rumit dalam tempoh 20 tahun akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 12:55 PM