Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Bantu mudahkan urusan Rohana. Itu komitmen Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia berhubung isu kewarganegaraan gadis itu.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, ia termasuklah dokumen yang diperlukan daripada pihaknya untuk membantu proses yang dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan.

Katanya, pada peringkat ini, pihaknya berharap kisah yang menjadi tular di kedua-dua negara itu dapat diselesaikan dengan baik demi manfaat bersama.

"Saya mengikuti kes ini yang tular di media mengenai Rohana Abdullah yang dibesarkan oleh seorang yang berlainan agama selama 22 tahun.

"Tetapi saya lebih melihat kepada seseorang itu tidak boleh tidak memiliki identiti. Disebabkan laporan media mengatakan ibunya adalah warganegara Indonesia, maka saya meminta semakan dibuat untuk memberikan identiti kepada Rohana berdasarkan keadaan itu.

"Kalau dia ingin menjadi warganegara Indonesia, kita akan berikan pasport, tetapi jika sebaliknya, saya perlu berbincang dengan kerajaan Malaysia apa dokumen yang diperlukan untuk mendapatkan status warganegara Malaysia," katanya pada pertemuan di kediamannya semalam.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim dan Atase Undang-Undang Kedutaan Indonesia, Sumarsono.

Pada pertemuan sama, Hermono turut bertanyakan khabar Chee Hoi Lan, 83, dan ibu kandung Rohana, Salimah Osman dan mendengar sendiri kisah keluarga itu.

Hermono bersama isteri, Kiki Hermono bergambar kenangan bersama Rohana, Chee Hoi Lan dan Gulam Muszaffar. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Hermono bersama isteri, Kiki Hermono bergambar kenangan bersama Rohana, Chee Hoi Lan dan Gulam Muszaffar. FOTO Yusmizal Dolah Aling

Katanya, pada peringkat ini, pihaknya akan membantu apa yang diperlukan untuk membantu Rohana mendapatkan kewarganegaraannya.

"Daripada berita yang saya baca, ibu Rohana ini adalah warganegara Indonesia. Bagi Indonesia, yang paling penting adalah setiap individu perlu memiliki identiti.

"Disebabkan ibunya adalah warganegara Indonesia, kita boleh memberikan identiti kepada Rohana seperti kewarganegaraan, sijil lahir dan sebagainya.

"Namun kerana dia memilih untuk menjadi warganegara Malaysia, kita perlu berbincang dengan kerajaan Malaysia apa yang diperlukan daripada kedutaan agar Rohana ini memiliki status kewarganegaraan," katanya.

Beliau berkata, dia dihubungi beberapa media Indonesia selepas kisah itu disiarkan Harian Metro dan beliau sudah pun memberikan kenyataan untuk membantu mencari penyelesaian untuk masa depan Rohana.

"Keutamaannya adalah Rohana mesti mendapatkan status kewarganegaraan dan kes ini pun menjadi satu contoh bahawa kemanusiaan tidak ada batasan walaupun berbeza agama, budaya dan pegangan.

"Kisah ini sebenarnya menyampaikan mesej yang besar iaitu kemanusiaan sebenarnya tiada had sempadan," katanya.

Hermono turut mengakui bahawa terdapat banyak kes seumpama itu dan ia memerlukan kerjasama antara kedua-dua negara bagi mengatasinya.

Kisah luar biasa Chee menjaga Rohana disiarkan Harian Metro sejak seminggu lalu dan mendapat reaksi positif pelbagai pihak yang kagum dengan hubungan mereka berdua walaupun berbeza agama.

Rohana juga menerima kejutan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghubunginya untuk mengetahui kisah sebenar dan membantunya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 3:00 PM