DUTA Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono. FOTO ihsan UPM
DUTA Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono. FOTO ihsan UPM
Muhd Izawan Baharin


Serdang: Di masa hadapan hubungan antara Malaysia dan Indonesia mungkin tidak lagi didasari oleh ikatan nostalgia sebaliknya dipengaruhi faktor keuntungan bersama serta saling menghormati.

Sehubungan itu, sebagai persediaan untuk generasi muda selaku pemimpin masa depan mendepani pelbagai cabaran, perbincangan secara terbuka antara Malaysia dan Indonesia amat penting dilaksanakan.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, kedua-dua negara perlu berani berdialog secara terbuka dan saling menyampaikan aspirasi kedua negara secara jujur demi generasi masa depan yang akan membawa kedua bangsa ke arah kejayaan lebih tinggi.

"Kita sering mendengar hubungan antara kedua negara ini didasari faktor sentimental seperti ada rakyat Malaysia yang datuk neneknya berasal dari wilayah-wilayah di Indonesia seperti di Aceh dan sebagainya.

"Mungkin generasi akan datang tidak lagi menjadikan faktor itu sebagai komponen penting yang mengikat hubungan kita sebaliknya didasari hubungan menguntungkan secara bersama dan saling menghormati.

"Oleh itu, ini saatnya kita membuat persediaan kepada generasi muda untuk memperkukuhkan hubungan melalui kajian bersama, seminar dan perbincangan secara terbuka serta jujur," katanya pada ucapan perasmian Seminar Serantau Isu-Isu Belia dan Komuniti Siri 2/2021 anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Turut hadir pada seminar dalam talian yang bertemakan 'Kesejahteraan Belia dan Komuniti Aset Kesejahteraan Negara' itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Dr Nazamid Saari.

Seminar dua hari itu membabitkan kerjasama antara IPSAS dengan Universitas Halu Oleo (UHO), Universitas Abulyatama (UNAYA) dan Universitas Teuku Umar (UTU) di Indonesia dalam memperkasakan jalinan ukhwah antara Malaysia dan Indonesia.

Hermono berkata, belia Indonesia dan belia Malaysia adalah pewaris di masa depan, jadi amat penting generasi sekarang menyediakan platform kepada mereka untuk memperkukuhkan komunikasi dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

"Hubungan antara Indonesia dan Malaysia unik. Di satu sisi, kita tahu bahawa dua negara serumpun ini mempunyai hubungan rasmi sangat baik. Malaysia menjadi keutamaan Indonesia dalam hubungan menjalin hubungan luar negara begitu juga sebaliknya.

"Hubungan ini kita perlu jaga, memperkuatkan dan menjadi tugas generasi muda atau belia untuk terus menjaganya supaya kita berupaya membangun, stabil dan berkembang secara bersama-sama," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun di sisi lain, dalam masyarakat antara kedua negara sering muncul sentimen negatif yang berlebihan sehingga ada kalanya di luar kawalan sehingga berpotensi mengganggu hubungan.

"Paling nyata seperti apa yang berlaku ketika perlawanan bola sepak, isu tenaga kerja, warisan budaya bersama dan masalah perbatasan atau sempadan.

"Kita perlu menyelesaikan isu ini secara bersama kerana ia boleh menjadi beban bagi generasi muda akan datang.

"Justeru, saya berharap seminar ini dapat memberi sumbangan dan cadangan yang dapat membantu memperkuat hubungan Indonesia dan Malaysia demi pewaris kedua negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 11:20 AM