BOT pemintas FIC G2000 MKII mampu memenuhi keperluan fungsi dan tugas operasi maritim termasuk menghalang jenayah di laut.
BOT pemintas FIC G2000 MKII mampu memenuhi keperluan fungsi dan tugas operasi maritim termasuk menghalang jenayah di laut.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Negara sering dikejutkan dengan pelbagai isu ancaman antaranya kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), lanun, penyeludupan, pencerobohan sumber perikanan negara dan pelbagai lagi yang boleh menjejaskan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia.

Dengan pesisir pantai sepanjang 6,073 kilometer (km) dan Zon Ekonomi Ekslusif seluas 569,845 km persegi, tugas pengawasan dan pencegahan di kawasan maritim negara diamanahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pelbagai lagi agensi keselamatan negara adalah tugas amat mencabar.

Susulan itu di bawah operasi Op Benteng, TLDM berjaya memperolehi enam unit bot Fast Interceptor Craft (FIC) keluaran syarikat tempatan iaitu Gading Marine Industry bagi membendung pencerobohan perairan negara.

Berdasarkan prestasi dan keupayaan bot yang memberangsangkan ini khususnya semasa Op Benteng, adalah tidak mengejutkan apabila TLDM memohon kepada kerajaan Malaysia bagi penambahan unit ini sekaligus mendokong keperluan operasi yang semakin mendesak.

Jurucakap TLDM berkata, bot pemintas sepanjang 18 meter yang turut dikenali sebagai Gading FIC G2000 MKII adalah model terbaharu yang juga sebahagian daripada 13 unit bot ditempah kerajaan Malaysia bagi kegunaan TLDM.

Sebagai rekod, selain daripada TLDM, Gading Marine sudah menyerahkan dua unit FIC G2000 (versi pertama) kepada Pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2019.

"Bot pemintas FIC G2000 MKII sesuai dengan kapasitinya sebagai FIC versi terkini yang ditambah baik dengan dilengkapi Remote Control Weapon Station (RCWS) berkaliber 12.7mm.

"Bot ini mempunyai kelajuan maksimum lebih tinggi dengan sistem enjin dan waterjet lebih berkuasa. Bahagian dalamnya mempunyai susunatur dalaman yang lebih memberikan keselesaan kepada kru dan penumpang berbanding model terdahulu.

"FIC G2000 MKII ini juga mampu memenuhi keperluan fungsi dan tugas operasi maritim seperti rondaan dan pemantauan pesisir pantai, tindakbalas pantas kepada insiden di laut, operasi khusus, operasi mencari dan menyelamat serta operasi pemintasan bukan sahaja kepada TLDM tetapi juga agensi penguatkuasa maritim lain," katanya.

Pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) lalu, sebuah bot FIC G2000 MkII diletakkan di pintu masuk utama di Dewan Pameran Mahsuri manakala sebuah lagi beroperasi di jeti Resorts World.

Justeru, penambahan FIC ini dilihat sedikit sebanyak bakal mampu menambahbaik fungsi dan tugas TLDM di dalam menjaga perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 8:08 PM