Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Mampu mencecah kelajuan melebihi 80 kilometer sejam. Ternyata penambahan enam bot pemintas milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berupaya meningkatkan aset ketenteraan dalam melindungi kedaulatan negara.

Terbaharu bot pemintas Fast Combat Boat (FCB) TLDM yang beroperasi sejak 26 April lalu berjaya mengusir sekumpulan bot nelayan asing dan menahan satu daripadanya pada jam 1.40 pagi semalam di utara perairan Pulau Tioman, Pahang.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintah Armada Barat TLDM berkata, tindakan pantas diambil susulan pengesanan radar oleh kapal KD Lekiu sebelum dua bot pemintas bergegas ke lokasi dengan kelajuan melebihi 45 knot (83.3 kilometer sejam).

Menurutnya, setiba di lokasi, radar FCB berjaya mengesan sekumpulan besar bot nelayan asing yang dipercayai bot nelayan Vietnam (BNV) sedang mengaut khazanah negara secara haram.

KRU dan bot nelayan Vietnam yang ditahan bot pemintas Fast Combat Boat (FCB) TLDM pada jam 1.40 pagi semalam di utara perairan Pulau Tioman, Pahang.
KRU dan bot nelayan Vietnam yang ditahan bot pemintas Fast Combat Boat (FCB) TLDM pada jam 1.40 pagi semalam di utara perairan Pulau Tioman, Pahang.

"Sebaik menyedari kehadiran dua bot FCB ini, kesemua bot nelayan asing itu segera menghentikan aktiviti mereka dan bergegas cuba melarikan diri ke perairan antarabangsa.

"Namun dengan keupayaan dan kemahiran pengendalian kru FCB, sebuah BNV dengan 19 awak-awak berjaya ditahan dan seterusnya diiringi untuk diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Rompin untuk tindakan lanjut.

"Jelas sekali pelaburan kerajaan serta keyakinan terhadap keupayaan limbungan tempatan membina bot pemintas baharu TLDM itu membuahkan hasil memuaskan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua bot bot pemintas itu baru selesai menjalani latihan penyesuaian dan dikendalikan seorang pegawai serta enam kru.

"Bot itu kini berada di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) yang berpangkalan di Tanjung Gelang, Pahang.

"Keupayaan bot pemintas TLDM untuk diaturgerakkan dan bertindak dalam tempoh yang singkat diyakini berupaya memberi mesej cegah rintang yang jelas terhadap sebarang cubaan jenayah rentas sempadan," katanya.

Menurutnya, peranan besar kerajaan, Kementerian Pertahanan serta pihak limbungan menyegerakan proses serta pembinaan bot pemintas TLDM itu mampu memperkasakan aset pertahanan negara.

ANTARA nelayan asing yang ditahan.
ANTARA nelayan asing yang ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:59 AM