Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Marang menjadi daerah baharu terjejas akibat banjir di Terengganu selepas satu pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan malam tadi.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing dibuka bagi menempatkan 132 mangsa daripada 32 keluarga.

Setakat 8 pagi, 1,431 mangsa daripada 400 keluarga berada di 14 PPS di empat daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu dan Marang.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 1,048 mangsa daripada 295 keluarga di 12 PPS di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kuala Nerus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 699 mangsa daripada 189 keluarga.

Kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan di tujuh PPS berbanding hanya 507 mangsa, malam tadi.

Di Kuala Terengganu, 574 mangsa banjir membabitkan 173 keluarga berada di empat PPS.

Mereka yang terjejas dipindahkan ke SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek.

Jumlah mangsa yang terjejas di Setiu kekal seramai 26 mangsa daripada enam keluarga.

Mereka ditempatkan di di PPS Balai Raya Kampung Bintang dan Balai Raya Kampung Bari Besar.

Keadaan cuaca ketika ini masih hujan di beberapa tempat di Terengganu.

PEMANDANGAN udara keadaan kediaman yang dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Gong Tok Nasek. FOTO Ghazali Kori
PEMANDANGAN udara keadaan kediaman yang dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Gong Tok Nasek. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 9:22 AM