Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Anggota polis berpangkat Lans Koperal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memperoleh suapan berjumlah RM200 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pesalah khalwat, dua tahun lalu.

Hakim, M Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Lans Koperal Abdul Hadi Abu Bakar, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dikenakan ke atasnya iaitu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK).

M Bakri turut menetapkan baki pertuduhan yang lain bagi kes ini, selain daripada pertuduhan pilihan yang tertuduh mengaku bersalah hari ini dianggap sebagai TIC iaitu dilepas dan dibebaskan atas pertimbangan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, lelaki berkenaan yang ketika kejadian berkhidmat sebagai ejen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertugas di unit MPV (8) Bahagian Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, didapati menerima benda berharga tanpa sebarang balasan iaitu wang tunai RM200 daripada Muhammad Hafizuldin Hamzah, 26.

Tertuduh didakwa mengetahui bahawa suapan itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya, iaitu dengan tidak membawa Muhammad Hafizuldin dan J Kristina, 20, ke balai polis atas kesalahan khalwat yang dilakukan pada 30 Disember 2019.

ABDUL Hadi ketika dibawa keluar dari bilik perbicaraan selepas dijatuhi hukuman denda RM1,500  oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
ABDUL Hadi ketika dibawa keluar dari bilik perbicaraan selepas dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di bahagian belakang bangunan Restoran Pelita Nasi Kandar, Jalan Kamaruddin Isa, Taman Fair Park, di sini, pada 5 Januari 2020 antara jam 12.30 hingga 12.45 tengah hari.

Sabit kesalahan, Seksyen 165 KK memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor dengan tertuduh diwakili peguam Sheikh Mohd Nasir S. Mohd Sharif.

Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal melunaskan denda yang dikenakan.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Julai tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan menerima suapan secara rasuah bagi kes sama, iaitu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagi pertuduhan pada Julai lalu, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM50 daripada Muhammad Hafizuldin di tempat letak kereta di Taman D.R. Seenivasagam, di sini kira-kira jam 2 pagi, 30 Disember 2019.

Ketika itu dia juga dituduh memperoleh suapan wang tunai RM200 sekali lagi daripada Muhammad Hafizuldin di sebuah restoran di Jalan Kamaruddin Isa pada 5 Januari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 11:04 AM