PAU 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan DuniaKuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
PAU 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan DuniaKuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Biarpun sudah diluluskan, usul tambahan mengenai tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno wajar dikaji semula.

Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, berkata ini kerana usul yang dilulus pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 bakal memberi kesan kepada parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

"Saya tak (kecewa), perwakilan dah meluluskannya, kita terimalah kerana impaknya kita bakal lihat pada enam PRN nanti.

"Bagi saya ada dua pandangan, ada pandangan yang kata ikut prosedur dan ada juga sebaliknya. Saya nak komen lebih pun saya bukan peguam, jadi perlu dikaji (semula)," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, PAU meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden Umno yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak dipertandingkan pada pilihan parti akan datang.

Usul tambahan itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin dan diluluskan melalui undian suara, sebelum sesi penggulung perbahasan dimulakan.

Kelulusan pengundian usul itu yang dilakukan secara tertutup di Dewan Merdeka diumumkan Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruddin selaras Fasal 30 Perlembagaan Umno dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

Semalam, Zainal Abidin ketika membahas usul ucapan dasar presiden sebagai perwakilan Umno Wilayah Persekutuan, menolak usul tambahan itu.

Katanya, Umno perlu menyedari sentimen terhadap isu ini boleh mempengaruhi sentimen sokongan pengundi Melayu terhadap Umno.

"Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada parti, malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.

"Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif," katanya

Selain Zainal Abidin, perwakilan Johor merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, menyifatkan usul terbabit tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan.

Tegasnya, usul tambahan itu bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan Umno dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 9:55 PM