GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Polis meminta saksi yang melihat kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bukit Langat di sini, yang tular di media sosial untuk tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan kejadian itu 10.20 pagi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan kereta Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang dua wanita.

"Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai cuba memotong kenderaan lain lalu masuk ke laluan bertentangan dan bergesel dengan kereta berkenaan.

"Akibat pergeseran itu, motosikal hilang kawalan dan terjatuh di tengah jalan. Penunggang dan pembonceng terbabit mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas 1959.

"Saksi bebas yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya, Sarjan Mohd Shahrihin Ismail di talian 019-6366888," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit menunjukkan dua wanita yang menaiki motosikal terjatuh di atas jalan selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 8:31 PM