GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


TIGA penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di susur Bandar Puteri dan Teluk Pulai, hari ini.

Dalam nahas di Kilometer 20.31 Lebuhraya KESAS menghala Shah Alam berdekatan susur Bandar Puteri, dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata kemalangan kira-kira 3 pagi itu membabitkan Toyota Vellfire dan tiga motosikal Yamaha Lagenda.

Katanya, ketika kejadian, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dalam perjalanan dari Jenjarom menghala ke Damansara, dan setiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh motosikal yang ditunggangi Muhammad Aqil Abdul Hamid, 20.

“Penunggang motosikal berkenaan terjatuh dan bergesel sesama sendiri dengan dua lagi motosikal.

“Muhammad Aqil dan penunggang sebuah lagi motosikal, Muhammad Hafizul Noor Ahmad, 18, yang parah pada kepala disahkan maut serta-merta di lokasi kejadian.

“Penunggang motosikal ketiga, Muhammad Amir Daniel Zulkifli, 19, yang patah kaki kanan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) manakala pemandu Vellfire, Chong Chooi Fun, 37, tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, dalam nahas di Teluk Pulai, seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan yang tidak dikenal pasti, 6.30 pagi tadi.

“Polis menerima panggilan daripada HTAR memaklumkan mangsa, Aqil Amran, 22, terbabit kemalangan di Jalan Mohd Yamin, Teluk Pulai dengan sebuah kenderaan.

“Mangsa dimasukkan ke Zon Merah kerana parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 7 pagi oleh pegawai perubatan HTAR,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 5:35 PM