ANWAR (kiri) bersama Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan. FOTO ihsan Selangor Royal Office
ANWAR (kiri) bersama Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan. FOTO ihsan Selangor Royal Office
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membawa isu kalimah Allah kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Ogos depan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober.

Baginda selaku Pengerusi MKI bertitah, baginda percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

Persetujuan itu disepakati selepas Sultan Sharafuddin mengadakan perbincangan dengan Anwar di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri mengadap dan menyembah taklimat berhubung dengan keputusan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland lawan Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

"Beta disembah maklum berhubung dengan komitmen kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan merujuk isu ini kepada Majlis Raja-Raja bagi tujuan penetapan dasar berhubung dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

"Dalam perbincangan itu, Beta selaku Pengerusi MKI menyuarakan pandangan Beta yang juga dipersetujui oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahawa perkara ini perlu dibawa terlebih dahulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

"Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini membabitkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan dengan segera oleh kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab," titah baginda hari ini.

Baginda juga menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam.

"Penyelesaian bagi isu ini hendaklah dibuat dengan berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama selain agama Islam dengan aman.

"Beta juga menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini lagi sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad tentang perkara ini," titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 3:29 PM