FOTO Selangor Royal Office
FOTO Selangor Royal Office
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Baginda bertitah dalam menangani isu berbangkit kini, yang penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan.

"Ini bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan (ambiguity)," titah baginda.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikan sempena Mesyuarat MKI ke-71, di Putrajaya hari ini.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan batal dan tidak sah.

Titah baginda, pelbagai pihak terutama ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut.

"Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut. Beta telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah Beta semasa mesyuarat MKI Kali ke-70 pada 28 Ogos 2023, sedang meneliti persoalan yang berbangkit ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, antaranya adalah melaksanakan kajian terhadap isu-isu berkaitan kompetensi termasuklah analisis kepada peruntukan undang-undang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkannya secara terperinci.

Selain itu, cadangan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan selain mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sultan Sharafuddin bertitah, jawatankuasa khas berkenaan telah diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

Dalam hal ini, baginda menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas itu dengan memberikan cadangan-cadangan berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas berkenaan melaksanakan tugas.

"Beta faham adalah menjadi satu amanah yang berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini, namun Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin Allah, satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini.

"Sementara itu, Beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan," titah baginda.

Sultan Selangor turut menasihatkan umat Islam di negara ini terutama para alim ulama dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Baginda turut menasihatkan umat Islam supaya tidak berbalah secara terbuka dalam perkara yang boleh diselesaikan secara bermesyuwarah dan tertutup di samping perlu meraikan perbezaan pendapat, menyelesaikan perbezaan pandangan melalui pendekatan ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul.

"Rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi para ilmuan Islam, para alim ulama dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya ahli politik supaya tidak mengambil kesempatan mempolitikkan isu melibatkan agama Islam sehingga menjadi modal persengketaan politik yang tidak berkesudahan, salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Di samping itu, baginda bertitah pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas daripada pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.

"Teguran Beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihakā€¦Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah daripada tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama," titah Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin turut berharap amalan melantik Menteri Agama dari kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang ini dapat diteruskan demi memastikan isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik.

Baginda juga menyarankan kelayakan akademik berasaskan ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama dalam melantik seorang Menteri Agama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 2:52 PM