Abdul Hadi (dua dari kiri) menerima cenderahati dari Mufti Besar Oman, Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi (dua dari kanan) pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam hari ini. Turut bersama Pendakwah bebas Dr Zakir Naik (kiri). FOTO GHAZALI KORI
Abdul Hadi (dua dari kiri) menerima cenderahati dari Mufti Besar Oman, Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi (dua dari kanan) pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam hari ini. Turut bersama Pendakwah bebas Dr Zakir Naik (kiri). FOTO GHAZALI KORI
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Pas mengesahkan tawaran kepada parti itu untuk menyertai Kerajaan Perpaduan diterima selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya menerima tawaran daripada Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum terbabit.

Menurutnya, selepas mengambil kira beberapa perkara, Pas membuat keputusan untuk menolak tawaran yang diberikan apabila melihat gabungan yang mahu dibentuk agak lemah.

"Tawaran yang Pas terima ini hadir selepas PRU-15 lalu dan beberapa pemimpin dari PH mengajak Pas menyertai gabungan mereka membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Kita berasa gabungan yang mahu dibuat ini tidak sesuai untuk masyarakat di negara ini yang majoriti adalah orang Islam dan sebab itu kita membuat keputusan untuk menolaknya.

"Bagaimana mahu memimpin negara jika parti didominasi parti bukan Islam. Walaupun DAP tidak jadi menteri, tapi mereka di belakang Menteri... jika mereka tidak jadi Exco, dia di belakang Exco," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Program Persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu 2023 di Dewan Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, buat masa ini Pas akan terus memperkukuhkan gabungan bersama Perikatan Nasional (PN) dan menolak untuk bersama Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa ada beberapa individu menghubungi mengajak berjumpa untuk menawarkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Hadi mendakwa tawaran itu muncul kerana PH khususnya PKR menyedari kedudukan mereka tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

Bagaimanapun, Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan kononnya ada tawaran kepada Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 1:45 PM