Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Pas mengesahkan tawaran parti itu untuk menyertai Kerajaan Perpaduan diterima selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya banyak menerima tawaran daripada Pakatan Harapan (PH) yang datang dan menghubunginya untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 itu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, selepas mengambil kira beberapa perkara, Pas membuat keputusan untuk menolak tawaran yang diberikan itu selepas melihat gabungan yang mahu dibentuk agak lemah.

"Tawaran yang Pas terima ini hadir selepas PRU15 lalu dan beberapa pemimpin dari parti PH mengajak Pas menyertai gabungan mereka membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Kita berasakan gabungan yang mahu dibuat ini tidak sesuai untuk masyarakat di negara ini yang majoriti adalah orang Islam dan sebab itu kita membuat keputusan menolaknya," katanya pada sidang media selepas perasmian Program Persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Abdul Hadi berkata, buat masa sekarang Pas akan terus memperkukuhkan gabungan bersama Perikatan Nasional dan menolak untuk bersama Kerajaan Perpaduan.

ABDUL Hadi (dua kiri) pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam hari ini. FOTO Ghazali Kori
ABDUL Hadi (dua kiri) pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam hari ini. FOTO Ghazali Kori

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa ada beberapa individu menghubungi mengajak berjumpa untuk menawarkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Hadi mendakwa, tawaran itu muncul kerana PH khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

Bagaimanapun, Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menepis dakwaan kononnya ada tawaran kepada Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 1:30 PM