NIK Nazmi (dua, kiri) bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting hari ini. FOTO Bernama.
NIK Nazmi (dua, kiri) bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting hari ini. FOTO Bernama.
Norzamira Che Noh


Banting: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang melaksanakan cadangan semakan semula tarif air agar tarif yang dikenakan dapat memberi pulangan modal setimpal dengan kos operasi yang dibelanjakan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan di peringkat Persekutuan sedar bahawa kemampanan kewangan operator air memainkan peranan penting dalam mutu penyampaian perkhidmatan bekalan air.

"Kami sedia maklum bahawa terdapat negeri-negeri yang masih menggunakan tarif yang lama dan tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu dan perkara ini sedang dalam tindakan NRECC.

"Pada masa yang sama, kami akan memastikan supaya sebarang kenaikan tarif tidak akan membebankan golongan yang kurang berkemampuan," katanya pada Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di tapak projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau di Kampung Seri Cheeding, dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai Skim Bekalan Air Rasau, Nik Nazmi berkata, ia adalah langkah proaktif dimainkan kerajaan negeri dan Pengurusan Air Selangor Sdn Berhad (Air Selangor) yang mana ia akan menyediakan bekalan air alternatif sekiranya berlaku insiden pencemaran dan mengurangkan kebergantungan pengguna di Wilayah Klang terhadap sumber bekalan air terawat tunggal iaitu Skim Sungai Selangor.

Katanya, ia juga bersifat dwi fungsi yang mana selain menjamin bekalan air, ia juga untuk mengatasi masalah banjir yang berlaku di sekitar kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Nik Nazmi memaklumkan bahawa Selangor adalah antara negeri yang terbaik selain Johor dalam pengurusan air tanpa hasil (NRW) iaitu di bawah 30 peratus.

Sementara itu, Amirudin berkata, proses penggantian paip yang dijalankan sejak 2016 serta kawalan kebocoran dan kecekapan operasi berjaya mengurangkan NRW di Selangor.

Katanya, kadar NRW pada 2016 adalah sekitar 36 peratus dan kini menurun kepada 27.8 peratus dengan kerajaan negeri mensasarkan penurunan sehingga 25 peratus menjelang 2025.

"Kita juga dalam usaha penggantian paip sepanjang 150 kilometer (km) setahun yang membabitkan proses keseluruhan 30,000 km panjang termasuk 6,000 km paip yang kritikal untuk diganti.

"Kita akan melakukan penggantian ini secara terancang dan tersusun kerana ia melibatkan pertimbangan ekonomi dan kos yang tinggi," katanya.

Air Selangor dalam kenyataan berkata Skim Bekalan Air Rasau peringkat pertama dijangka siap pada 2025 merangkumi sembilan bekas kolam perlombongan bijih timah dengan keluasan 489 hektar yang berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwi-fungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air serta tebatan banjir.

Skim itu juga merangkumi komponen sistem perkhidmatan air membabitkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan sistem agihan bekalan air dengan sumber air mentah untuk diabstrak dari Sungai Klang yang dijadikan sumber bekalan air mentah baharu yang menyumbang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran air untuk Air Selangor pada 2030.

Peringkat kedua Skim Bekalan Air Rasau pula akan mula dibangunkan pada 2027 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada 2030 dengan kos keseluruhan projek adalah sebanyak RM5.54 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 3:17 PM