FADILLAH merasmikan Majlis Kempen E-Duit dan Cashless Pasar Malam di Pasar Malam Metrocity, Kuching Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
FADILLAH merasmikan Majlis Kempen E-Duit dan Cashless Pasar Malam di Pasar Malam Metrocity, Kuching Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Persekutuan sedang meneliti bentuk bantuan yang perlu disalurkan kepada semua kerajaan negeri bagi menaik taraf sistem pembekalan air.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan sedang dijalankan dengan kerajaan negeri sama ada mereka memerlukan bantuan dalam bentuk geran atau pinjaman.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata, bantuan itu bagi membolehkan sistem bekalan air di semua negeri menaik taraf paip lama serta pam yang lebih berkuasa tinggi.

"Apa yang berlaku di Pulau Pinang sekarang ialah masalah bekalan air berpunca daripada paip lama yang sudah usang.

"Sebab itu fokus kita (Kerajaan Persekutuan) ialah memberi bantuan kepada kerajaan negeri untuk menaik taraf sistem bekalan air mereka terutamanya menggantikan paip lama dan pam," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan kempen e-Duit dan Tanpa Tunai Pasar Malam di Pasar Malam Metrocity di sini, malam ini.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas masalah bekalan air yang sedang berlaku di Pulau Pinang.

Menurutnya, langkah menaik taraf sistem bekalan air itu perlu dalam usaha mengurangkan air tidak terhasil (NRW) yang merugikan sumber air di seluruh negara.

Selain itu katanya, kementeriannya juga sedang meneliti permohonan penyedia perkhidmatan bekalan air khususnya di Semenanjung Malaysia untuk menaikkan tarif air.

"Kenaikan tarif itu adalah bagi menambah baik semua proses pembekalan air terutamanya penggantian paip dan pam lama.

"Sebab itu mereka (penyedia perkhidmatan) memohon untuk menaikkan tarif air," katanya.

Seramai 590,000 pengguna di seluruh Pulau Pinang terbabit dengan gangguan bekalan air berjadual bermula jam 6 pagi Rabu lalu hingga jam 6 pagi Ahad ini.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 101 kawasan di Daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sementara itu, 157 kawasan lagi membabitkan Daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau dijangka mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

Mengenai kempen e-Duit dan Tanpa Tunai Pasar Malam yang dilancarkannya itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan Sarawak memperkasakan ekonomi digital.

"Selain itu, penggunaan e-Duit juga mampu mengelakkan kecurian ketika berbelanja kerana individu itu tidak membawa wang tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 10:48 PM