Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan gula terkawal dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna menjelang Aidiladha.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kementerian juga memberi jaminan masalah kekurangan bekalan gula yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang.

Beliau berkata, pemantauan secara berterusan juga akan dilaksanakan termasuk di peringkat pemborong selain turut memperhebatkan Op Manis bagi memantau harga dan stok gula.

"Kita mahu menyampaikan mesej kepada semua iaitu yang pertama kepada pengilang bahawa mereka tidak boleh kurangkan jumlah pengeluaran gula biasa walaupun ada gula kategori lain.

"Itu arahan dan kita akan kawal pihak pengeluar (selain) kita juga akan sentiasa memantau pihak pemborong dan sekiranya ada aduan daripada rakyat ada pihak-pihak yang menjual gula biasa ini dengan harga lebih mahal sila buat aduan kepada kami dan penguat kuasa kami akan turun.

"Kita sedaya-upaya sudah mengambil tindakan untuk memastikan ia dalam kawalan tetapi kalau ada sesiapa yang mengambil kesempatan, sila buat aduan (kerana) rakyat boleh menjadi 'king maker'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di premis pemborong gula di sini, hari ini.

Sementara itu, Fuziah berkata, setakat ini kedudukan bekalan gula membabitkan 16 pemborong utama di Terengganu berjaya dipulihkan ke tahap 1,845.5 metrik tan.

Beliau berkata, pihaknya menyeru pengguna tidak membuat pembelian panik kerana tindakan berkenaan boleh menjejaskan rantaian gula di pasaran.

Katanya, peniaga juga diingatkan tidak mengenakan pembelian bersyarat atau menyorok bekalan gula bagi mengelak dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDN Terengganu menggerakkan seramai 114 pegawai penguat kuasa bagi memantau serta menangani isu kekurangan bekalan gula melalui OpManis dan sehingga kini, sebanyak 377 pemeriksaan berkaitan gula sudah dijalankan di seluruh negeri merangkumi sektor pemborong dan peruncit," katanya.

Fuziah Salleh (tengah) bersama Pengarah  KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (dua kanan)
Fuziah Salleh (tengah) bersama Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (dua kanan)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 2:33 PM