FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah boleh membekal ikan bagi membantu memenuhi keperluan pengguna di Semenanjung yang sering berdepan kekurangan bekalan terutama pada musim tengkujuh.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, Sabah mempunyai banyak sumber ikan, bukan setakat untuk kegunaan penduduknya sendiri, malah boleh dipasarkan ke tempat lain.

Menurutnya, bekalan yang mencukupi penting bagi menstabilkan harga hasil perikanan selain membantu nelayan di Sabah mendapat hasil yang lebih baik menerusi jualan tangkapan ke pasaran lebih luas.

Katanya, perkara itu adalah antara yang dilihat LKIM dalam mengembangkan lagi sektor perikanan Sabah termasuk memperkasa golongan nelayan sejajar dengan agenda keterjaminan makanan yang ditekankan kerajaan.

"Di Sabah ada banyak ikan, jadi hasrat LKIM bantu supaya hasil ikan yang banyak di Sabah ini dapat dibekalkan ke Semenanjung untuk cukupkan bekalan di sana terutama pada musim tengkujuh," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-26 Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nikmat) Datuk Mohd Dol Mat, Pengerusi Pengasah Datuk Arsit Sedi dan Pengarah LKIM Sabah Jamil Abdullah.

Muhammad Faiz berkata, tangkapan perikanan Sabah mampu ditingkatkan lagi agar dapat dibekalkan ke Semenanjung menerusi usaha memodenkan kapal nelayan dengan kerjasama LKIM dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

"Sebab itu kita mahu usaha bersepadu PNK dan LKIM supaya nelayan kita dapat ke laut dalam untuk meneroka sumber yang banyak. Ini antara yang kita lihat boleh mantapkan lagi tangkapan ikan di Sabah.

"Selain itu, saya juga mengarahkan LKIM untuk meneliti permohonan membina kilang ais untuk keperluan nelayan di Sabah dengan kerjasama Nikmat seperti dibuat di Pahang dan Kelantan.

"Kilang ais ini perlu dalam usaha kita meningkatkan bekalan ikan kerana ia adalah elemen penting dalam industri perikanan, selain memastikan harga ais yang murah untuk kemudahan nelayan," katanya.

Beliau berkata, usaha sama juga boleh dilakukan dengan Nikmat atau pihak swasta bagi membawa tangkapan hasil perikanan di Sabah ke Semenanjung.

Sementara itu, Muhammad Faiz memberi jaminan LKIM akan memberi perhatian terhadap permohonan nelayan Sabah untuk mendapatkan pembaikan rumah daripada dana yang disediakan kerajaan melalui LKIM.

Katanya, ramai nelayan yang layak mendapat projek pembaikan rumah, bukan saja di Sabah, malah di seluruh negara.

"LKIM akan memberi perhatian serius terhadap projek ini kerana ramai yang layak mendapat bantuan. Insya-Allah saya akan teliti bukan saja di Sabah, tapi seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 3:39 PM