Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memberi kebebasan kepada anaknya, Afiq Amani Annuar untuk terus memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Ketereh.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh, mengakui dia boleh mengarahkan keluarganya untuk bersama-sama menyertai PAS tetapi tidak mengambil tindakan itu kerana memberi kebebasan kepada semua pihak.

"Sebenarnya, isu ini tidak berbangkit, kalau tarik Afiq saja baru satu penyertaan, sedangkan saya mempunyai 400 hingga 500 ahli keluarga lain termasuk beribu-ribu sahabat yang boleh ditarik sama.

"Dia anak saya dan saya boleh arahkan dia untuk masuk PAS tapi saya tidak begitu, anak saya Ketua Pemuda Umno Bahagian yang dipilih akar umbi, jadi tidak timbul soal anak saya masuk PAS atau tidak.

"Dalam politik kita tidak boleh menunjukkan kesombongan dalam memberi apa-apa kenyataan dan masalah dalam kalangan pemimpin UMNO di Kelantan ialah suka bercakap sesuka hati," katanya selepas menghadiri program Pertandingan Suara Burung Candok di Bon Buyung, Kok Lanas, di sini, hari ini.

TAN Sri Annuar Musa (kiri) ditemui ketika hadir program Pertandingan Suara Burung Candok di Bon Buyung, Kok Lanas, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
TAN Sri Annuar Musa (kiri) ditemui ketika hadir program Pertandingan Suara Burung Candok di Bon Buyung, Kok Lanas, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa

Media sebelum ini melaporkan, Umno Kelantan menyarankan Annuar mengajak anaknya yang juga Ketua Pemuda Umno Ketereh supaya menyertai PAS, sebelum berkempen kepada orang lain untuk mengikut jejaknya.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman, berkata sekiranya anaknya sendiri tidak meyakini tindakannya itu, apatah lagi orang lain.

Menjawab kepada pandangan beliau tentang tindakan Umno mengajak untuk menyokong DAP, menurutnya ia terserah kepada orang Melayu untuk berfikir selain menasihatkan agar jangan lagi dibiarkan diri diperkotak - katikkan oleh pemimpin.

"Ada yang sampaikan kepada saya, ini adalah strategi dalam keadaan darurat kerana nak elak mudarat lebih besar. Jadi, kena sokong DAP supaya Umno dapat banyak kerusi.

"Kalau Umno sokong PAS melalui Perikatan Nasional (PN), Umno tak dapat kerusi yang banyak. Itu sebenarnya adalah satu naratif yang cuba direka sahaja.

"Sebelum ini Umno ada pilihan, tetapi Umno tinggalkan PAS dan Bersatu, jadi kitalah yang terima akibatnya," katanya

Menurutnya, dia meramalkan orang Melayu Islam tahu apa yang mereka ingin lakukan dan tidak akan biarkan mereka terus dipecah belahkan seterusnya membuat pilihan yang bijak dalam memilih pemimpin terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 3:23 PM