Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, mengakui secara ikhlas mahu membantu PAS kerana mempunyai dasar selari dalam memperkukuhkan politik orang Melayu dan Islam.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, PAS dilihat kekal komited untuk menyatu padukan rakyat berbeza dengan Umno yang mahu memisahkan daripada saf orang Melayu.

Katanya, malah PAS konsisten memperjuangkan Islam selain majoriti orang Melayu juga memberi sokongan penuh kepada parti berkenaan, justeru adalah penting untuk sama-sama memperkasakan lagi mandat yang sudah diberikan.

"Insya-Allah, saya boleh bantu PAS malah lebih daripada itu, tetapi saya tidak mahu bercakap besar. Saya mungkin boleh bawa lebih ramai tetapi kalau nak tahu berapa jumlahnya, kita lihat dalam peti undi nanti.

"Sebagaimana Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15), saya tidak keluar parti atau memberontak tetapi sedikit sebanyak soal simpati ke atas apa yang berlaku kepada diri saya.

"Ada orang kata saya penyebab Umno kalah, sebaliknya ia tidak benar," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Pertandingan Suara Burung Candok di Bon Buyung, Kok Lanas, di sini, hari ini.

TAN Sri Annuar Musa (tengah) ditemui ketika hadir program Pertandingan Suara Burung Candok di Bon Buyung, Kok Lanas, di sini, hari ini.  FOTO Syaherah Mustafa
TAN Sri Annuar Musa (tengah) ditemui ketika hadir program Pertandingan Suara Burung Candok di Bon Buyung, Kok Lanas, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, dia kini masih menunggu keputusan rasmi daripada PAS dan mengakui secara sukarela dan tanpa paksaan menawarkan diri untuk menyertai PAS.

"Saya tidak berunding dengan sesiapa dan mengambil keputusan ini selepas difikir dari segenap sudut. Selain itu, tindakan ini juga diambil susulan desakan rakyat di akar umbi yang meminta saya untuk kembali aktif dalam politik.

"Mereka juga yang cadangkan saya untuk bersama dengan PAS dan sekarang saya bersedia berjuang bersama PAS sebagai ahli PAS," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Annuar mengesahkan dirinya sudah mengemukakan permohonan bagi menyertai PAS.

Beliau turut memaklumkan sudah menghantar borang keahlian PAS sejak beberapa bulan lalu, kini menunggu kelulusan dari parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 2:40 PM