Pemilik premis barangan elektrik Calvin Tan menunjukkan kipas yang menjadi antara barang terlaris di kedainya susulan cuaca panas dan kering. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Pemilik premis barangan elektrik Calvin Tan menunjukkan kipas yang menjadi antara barang terlaris di kedainya susulan cuaca panas dan kering. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Penyaman dan penyejuk udara dan kipas terus menjadi barang elektrik terlaris di pasaran susulan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Jualan barangan berkenaan di kedai peralatan elektrik di sekitar Lembah Klang meningkat antara sekali hingga dua kali ganda sejak dua bulan lalu.

Pemilik premis barangan elektrik Calvin Tan berkata, jualan barangan berkenaan meningkat sejak bulan lalu terutama kipas angin jenis berdiri.

Menurutnya, pelanggannya mengakui mereka terpaksa membeli barangan itu kerana tidak tahan dengan cuaca panas ketika ini, namun masih mencari harga mampu milik.

"Kipas meja dan berdiri paling banyak dibeli sehingga jualannya meningkat 70 peratus, disusuli penghawa dingin dan penyejuk udara (air cooler) meningkat lebih 30 peratus berbanding tahun lalu.

"Ketika ini kedai saya tiada bekalan penyejuk udara di bawah harga RM400 kerana semuanya sudah habis dibeli dan yang ada hanya harga yang lebih mahal," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, premisnya pernah didatangi lebih 10 individu yang mahu membeli kipas dan penyaman udara dalam masa sehari.

Seorang pembantu kedai yang enggan dikenali berkata, jualan kipas dan penyaman udara di premisnya juga sangat menggalakkan sejak bulan lalu dan hingga kini masih ramai yang mencari barangan itu.

"Ramai yang meninjau dan membeli kipas serta penghawa dingin di premis kami ketika ini berbanding sebelumnya.

"Faktor cuaca menjadi faktor utama orang ramai membeli keperluan itu.

"Mereka membeli mengikut keperluan juga dan biasanya kita juga sedikit potongan harga terutama ketika musim perayaan lalu. Barangan yang harganya lebih murah tetapi masih berkualiti memang akan habis terjual lebih cepat," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Shazrin Ilyas, 35, berkata, dia dan adiknya membeli dua kipas tambahan untuk kegunaan ibu mereka di rumah pada awal bulan lalu biarpun di rumah sudah ada kipas siling namun bahang masih terasa.

"Cuaca ketika ini menyebabkan ibu saya kerap berpeluh dan badannnya naik ruam di beberapa bahagian.

"Sebab itu kami sepakat beli dua kipas berdiri untuk mak guna supaya dia rasa sejuk sedikit di rumah.

"Kami mulanya terfikir mahu pasang penyaman udara tetapi mak bimbang bil elektrik terlalu tinggi sebab kita mahu guna kerap, tetapi kipas pun sudah membantu menghilangkan bahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 12:59 PM