Saya mempunyai masalah dengan penyaman udara bagi Toyota Vios keluaran 2012 yang tidak sejuk ketika cuaca panas yang minimum.

Bagaimanapun, waktu malam atau pagi ia tidak mengalami masalah dan suhunya sejuk. Ia juga gagal berfungsi dengan elok jika kereta tidak bergerak.

Adakah cuaca panas pada masa kini menjadi punca penyaman udara saya tidak sejuk? Ini kerana selepas setiap 30,000 kilometer, kenderaan itu akan diservis, termasuk penyaman udara berkenaan.

AHMAD DANIEL, Kedah

Kini, negara kita mengalami musim panas. Kepanasan itu akan memanaskan badan kereta dan cermin, sekali gus menyimpan haba.

Oleh itu, dinasihatkan supaya membuka sedikit ruang tingkap di kawasan yang selamat daripada kecurian atau laras aliran udara kabin kenderaan dikitar semula.

Laburkan sedikit wang untuk memasang lapisan pada semua cermin anda. Lapisan itu tidak semestinya gelap, malah ada yang cerah, untuk memberi kawalan suhu terbaik.

Selain itu, penyaman udara anda perlu diservis supaya gas penyejuk penuh, selain mencuci habuk pada gegelung penyejuk.

Periksa kipas penyejuk radiator supaya ia berpusing setiap kali penyaman udara diaktifkan dan kelajuannya pada tahap maksimum.

Anda juga perlu mencuci radiator dan menggantikan cecair penyejuk bagi mengatasi masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:04 AM