Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sedang memperhalusi saranan Jabatan Perangkaan (DOSM) supaya memperluaskan jumlah outlet pasar tani di seluruh negara.

Pemangku Ketua Pengarahnya Abdul Rashid Bahri berkata, kajian pasaran dengan mengambil kira beberapa faktor perlu dilakukan sebelum pembukaan outlet pasar tani yang baharu.

Beliau berkata, faktor seperti kepadatan penduduk, bilangan pasar-pasar atau pasar raya yang berada kawasan yang dicadangkan, daya beli penduduk dan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan antara yang perlu dilihat terlebih dahulu.

"Kita sebenarnya dalam mesyuarat menerima satu pembentangan daripada DOSM yang mencadangkan Fama untuk melebarkan atau membuka outlet-outlet pasar tani lebih banyak menggunakan kaedah bilangan penduduk di sesuatu tempat.

"Bagi pihak Fama, kita mengucapkan terima kasih dan kita akan menggunakan data-data tersebut untuk pembukaan pasar tani baharu pada masa depan.

"Setiap kali kita mahu buat pasar tani, kita akan membuat satu kajian pasaran yang membabitkan pelbagai unsur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di Pejabat Fama Terengganu, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 12 usahawan di Terengganu menerima bantuan peralatan sokongan pemasaran berjumlah RM202,250.

Ia merangkumi Geran Agropreneur Muda, Signature Produk Terengganu, bantuan peralatan sokongan pemasaran Industri Makanan dan Asas Tani dan insentif peralatan bagi Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran.

Abdul Rashid berkata, terdapat lebih 250 outlet pasar tani di seluruh negara dengan pembukaan 14 outlet pasar tani yang baharu disasarkan pada tahun ini.

"Tahun ini, kita sasarkan 14 outlet pasar tani yang baharu dengan lebih daripada lima sudah dibuka setakat ini," katanya

Sebelum ini, Fama diarah memperluas jumlah outlet pasar tani seperti disarankan DOSM bagi memastikan rakyat mendapat bekalan makanan mencukupi pada harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 3:17 PM
ABDUL Rashid (berdiri, lima kiri) bersama penerima bantuan usahawan  pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori
ABDUL Rashid (berdiri, lima kiri) bersama penerima bantuan usahawan pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu. FOTO Ghazali Kori